Monday, 15 July 2013

Tazkirah Ramadhan (Kisah Hidangan dari Langit dan Kaum Yahudi)

Tempat: Masjid Batu
Penyampai: Ustaz Halim Nasir

Surah Al-Maidah yang bermaksud hidangan. Diberikan namanya bersempena dengan kisah di hujung surah mengenai Nabi Isa dan kaumnya dalam menghadapi kaum Yahudi. Kaum Nabi Isa kelaparan yang amat sangat lalu mereka meminta Nabi Isa untuk berdoa kepada Allah supaya diturunkan hidangan dari langit untuk mereka. 

Nabi Isa lalu berdoa dengan satu doa yang telah dirakam di dalam Al-Quran, doa pembuka rezeki. 
(Doa ini telah diberikan kepada Ustaz Halim Nasir tiga beradik oleh guru mereka ketika mereka menuntut ilmu di Mekah)

Isa putera Maryam berdoa, "Ya Tuhan kami, turunkanlah kepada kami hidangan dari langit (yang hari turunnya) akan menjadi hari raya bagi kami, yaitu orang-orang yang sekarang bersama kami mahupun orang yang datang setelah kami (rezki yang berpanjangan), dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau, berikahlah kami rezeki, sesungguhnya Engkaulah sebaikbaik pemberi rezeki.
[Al-Maidah: 114]

Doa ini bukan saja meminta supaya Allah menurunkan rezeki, malah rezeki yang turun itu juga melimpah ruah, sehingga ke generasi-generasi selepasnya. Amalkanlah doa ini terutamanya apabila berada di dalam bulan mulia ini, semoga kita semua dilimpahkan oleh-Nya rezeki yang diberkati.

Kisah hidangan yang turun dari langit bukan sahaja berlaku kepada Nabi Isa. Maryam ibunya turun diberkati dengan perkara yang sama. Pada ketika itu Nabi Isa masih belum lahir. Tercatat dalam Al-Quran kisah Maryam menerima hidangan dari langit.

Maka Dia (Allah) menerimanya dengan penerimaan yang baik, membesarkannya dengan pertumbuhan yang baik, dan penyerahkan pemeliharaannya kepada Zakaria. Setiap kali Zakaria masuk menemuinya di mihrab (tempat khusus untuk beribadah), dia mendapati ada makanan di sisinya (Maryam).
Dia berkata, "Wahai Maryam, dari mana engkau perolehi makanan ini?" 
Kata Maryam, "Itu daripada Allah."
Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa perhitungan.
[Al Imran: 37]

Dalam Surah Al-Maidah turut diceritakan kisah Nabi Musa berhadapan dengan kaum Bani Israel. Bani Israel ini sememangnya terkenal dengan kedegilan mereka. Walaupun berhadapan dengan nabi utusan Allah, namun mereka masih angkuh dengan Allah. 

Buku "69 Jam di Penjara Yahudi" tulisan saudara Nor Azman adalah buku yang dicadangkan oleh Ustaz Halim untuk melihat sendiri bagaimana kejam dan tidak berperikemanusiannya kaum Yahudi ini. Berlatar belakangkan peristiwa hitam Mavi Marmara ketika NGO-NGO di seluruh dunia bergabung menyertai satu misi kemanusiaan Gaza. 

Antara coretan yang paling menyentuh hati adalah ketika mana pegawai-pegawai tentera Yahudi yang naik ke atas kapal itu mendesak dan mendesak, bertubi-tubi bertanyakan mereka soalan yang sama, "Ketika kami di dek yang ke dua (kapal ada lima dek), pegawai dan tentera-tentera kami terkencing di dalam seluar mereka. Siapa enam lelaki berjubah putih yang mereka lihat di atas dek itu?!"

MasyaAllah. Allah menghantar pertolongan kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki. (Cerita lanjut ustaz suruh baca sendiri).

Dalam bulan Ramadhan yang barakah ini, berusahalah mendekatkan diri kepada Allah, dan amalkanlah doa pembuka rezeki, doa Nabi Isa. Semoga setiap perkara yang kita lakukan mendekatkan kita lagi kelada Sang Pencipta. Allahumma Amin.





No comments: