Wednesday 30 January 2013

Terpilihkah Aku?

"Allah adalah tujuan kami,
Rasulullah teladan kami,
Al-Quran pedoman hidup kami,
Jihad adalah jalan juang kami,
Mati di jalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi."

Bait-bait kata nasyid itu masih terngiang-ngiang di gegendang telingaku.

Syahid? Adakah itu benar-benar cita-cita tertinggiku? Aku menduga diri.
Jika benar, cukupkah persediaannya??

Aku kelu. Minda ligat memutar masa lalu, cuba mencari-cari jawapan bagi persoalan yang ku kira lebih susah daripada menjawab soalan Math HL IB di Banting dulu. Menyelati warna-warna kehidupan.
Hitam, putih, hijau, kelabu, kuning, biru. Sudah bersediakah aku??

Terpilih untuk ke Gaza bersama salah satu NGO yang sangat aktif dalam gerak kerja kemanusiaan dan dakwah membuatku banyak berfikir dan muhasabah. Dalam ramai-ramai yang memohon, aku antara yang paling sedikit probabiliti untuk dipilih. Ayah dan Ummi yang sangat strict terutamanya berkenaan keselamatan anak-anak, memohon pula pada hari terakhir untuk memohon, ditakdirkan pula aku rotation di Kerry (dua jam dari Cork) ketika tarikh misi tersebut. Namun semuanya tidak mampu mencacatkan pengharapanku, apatah lagi membunuhnya.

Alhamdulillah. Allah lah sebaik-baik perancang. Segala-galanya dipermudahkan. Alhamdulillah. Aku yakin, pasti banyak hikmah yang Allah sediakan di hadapan.

"Ya Allah, jika syahid di bumi Gaza adalah yang terbaik untukku, maka syahidkanlah." Aku memasang niat di dalam hati sambil berdoa. Ada getaran terasa. Wajah Ummi, Ayah, adik-adik silih berganti. Persoalan demi persoalan timbul.

Benarkah aku hendak meninggalkan mereka? Sekolahku bagaimana? Kawan-kawan? Saudara-mara? Cita-cita? Harapan? Masa depan?? Persediaanku sudah cukupkah? Solatku bagaimana? Sudah sempurna khusyuknya? Dakwah pula? Itu tak kira lagi dengan dosa-dosa lalu yang banyak tak terkira.

Segala persoalan dan persepsi segera ku tepis ke tepi. Bimbang kalau-kalau makin dilayan, makin menjadi-jadi. Alang-alang berada di bumi Gaza, tetapkanlah skali niat untuk syahid di sana. Kalau syahid alhamdulillah. Kalau tak syahid pun alhamdulillah juga. Dapat pahala atas niatnya. Allah lebih bijak dan lebih arif dengan perancangan-Nya. Segalanya telah ditentukan.

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas r.a. beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila Engkau meminta, maka pintalah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan sesuatu perkara yang memang Allah telah tetapkan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).


Termenung sejenak.

Allah.
Terpilihkah aku?





GAZA. Ya Allah, sampaikanlah..

Pukul 3.15 pagi, Ireland.

"Betoi ka ni??? Betoi ka ummi bagi kakak pi?!"
"Ha la.. Betoi."

Ummi tergelak kecil di hujung talian. 

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah!

Hanya Allah yang tahu betapa excited, gembira dan bersyukurnya aku mendengar kata putus daripada Ummi. Alhamdulilah, akhirnya segala abdominal pain, headache, nausea, dan  anxiety yang aku tanggung sejak siang hari tadi dek gelabah menunggu jawapan Ummi, hilang serta merta, diganti dengan perasaan bercampur baur yang menyerbu, menyesak dada. 

Bersyukur.

Gembira.

Sebak.

Terharu.

Tidak percaya.

"Awk, doa banyak-banyak. Kalau Allah dah takdirkan awk jejak kaki ke bumi Palestin, InsyaAllah, walau apa pun yang berlaku, awk akan berada di sana juga." Teringat kata-kata seorang sahabat yang cuba menenangkanku. 

Ya. Masa depan. Semuanya rahsia Allah.

Lantas aku segera sujud syukur. Mutiara panas mengalir laju. Syahdu.

Palestin. Namanya terasa dekat. Ada aura, menarik hatiku untuk terus terikat padanya. Masih terngiang-ngiang kata-kata Ustaz Dusuki. Generasi Gaza generasi Al-Quran. 
Allah, terpilihkah aku untuk bertemu dengan mereka??

*****

Tiket dah beli. Visa tengah diproses. Lapan hari lagi sebelum berangkat ke Gaza.

"Tidaklah ditekankan untuk berziarah kecuali untuk mengunjungi tiga masjid, Masjidil Haram (Mekah), Masjid Rasul S.A.W (Masjid Nabawi di Madinah) dan Masjidil Aqsa (Palestin)"
(HR Bukhari. No 1115 dari jalur Abu Hurairah, lidwa)

Ya Allah, sampaikanlah aku ke bumi itu Ya Allah. Sampaikanlah. Sampaikanlah. Sampaikanlah. Amin.




Tuesday 29 January 2013

Tulislah!

Bismillahirrahmanirrahim...

Setelah lama berfikir panjang, Alhamdulillah, Allah kurniakan kekuatan untuk menulis. Bagi sesetengah orang, menulis bukanlah sesuatu yang susah. Idea kadang datang mencurah-curah. Bagi sesetengah yang lain pula, banyak pula alasannya.

Sibuk.

Malas.

Takde idea??

Aku juga seperti mereka suatu ketika dahulu. Pada hematku, semua orang ada caranya yang tersendiri. Tetapi aku memilih untuk menulis kerana tulisan adalah salah satu benda yang mampu kekal lama, lebih kekal dari hayat penulisnya.

Saudaraku, tulislah! (Seruan kepada diri sendiri juga). Kenapa?

Kerana menulis itu mencerdaskan minda. Kerana menulis itu menzahirkan keberanian, Kerana menulis itu melatih diri menjadi lebih kritis dalam melontarkan idea dan pandangan. Tidak perlu punya kosa kata sehebat Sasterawan Negara, A. Samad Said, barulah nak mengangkat pena.

Ketahuilah.

Tulisan itu kadang senjata.

Tulisan itu kadang pelembut jiwa.

Tidak kurang juga peranannya dalam menggoncang dunia.

Tulislah! Dan tulislah dengan mata hatimu. Kerana hanya hati mampu menyentuh hati.




"Ya Allah, sesungguhnya aku memilih jalan ini kerana-Mu Ya Allah. Jadikanlah tulisan-tulisan kami sebagai pendekat kami kepada-Mu, sebagai salah satu saham di akhirat sana. Jadikanlah tulisan kami tulisan yang mendekatkan manusia kepada-Mu dan jauhkanlah kami daripada menulis perkara-perkara yang menjauhkan kami dari Mu. Ya Allah, hanya keberkatan-Mu yangkami cari. Maka rahmatilah kami Ya Allah. Hanya kepada-Mu tempat kami memohon." Amin.