Monday 29 July 2013

Ayuh Berlari!

Alhamdulillah, Allah panjangkan umur untuk masuk ke fasa terakhir dalam bulan Ramadhan. Antara fasa paling penting. Fasa perlepasan daripada api neraka. Dan fasa mencari cinta, dan ganjaran Allah Ta'ala.

Lailatul Qadr..
Mulianya malam itu. Antara bukti kasih sayang Allah kepada Rasulullah,
Dipanjangkan pula kepada ummatnya Muhammad.

Alhamdulillah, walaupun sudah masuk hari ke 22 Ramadhan, masjid masih penuh, tidak seperti tahun-tahun sudah, makin lama makin susut bilangannya. Makcik-makcik, anak-anak muda remaja, masing-masing sibuk bercerita, rancangan masing-masing memburu Lailatul Qadr, memburu cintanya. Jarang-jarang topik kuih raya dan langsir baru kedengaran.

Alhamdulillah, terasa rahmat Tuhan yang bertebaran.

Lajunya Ramadhan berlari, 
Meninggalkan hamba-hamba yang masih mencari-cari. 
Semoga dengan rahmat Ilahi,
Malam yang mulia itu dapat kutemui.

Tuesday 16 July 2013

Have faith~

Uncertainties..
Yes life is full of them,
And each creates doubt and worry,
Later leads to pain and misery.

Have faith to Allah,
And to Allah we turn,
Hoping for a better tomorrow,
And peace we'll earn.

Even though we do not know what the future holds,
But for sure we know who holds the future.
Have faith.



Monday 15 July 2013

Tazkirah Ramadhan (Kisah Hidangan dari Langit dan Kaum Yahudi)

Tempat: Masjid Batu
Penyampai: Ustaz Halim Nasir

Surah Al-Maidah yang bermaksud hidangan. Diberikan namanya bersempena dengan kisah di hujung surah mengenai Nabi Isa dan kaumnya dalam menghadapi kaum Yahudi. Kaum Nabi Isa kelaparan yang amat sangat lalu mereka meminta Nabi Isa untuk berdoa kepada Allah supaya diturunkan hidangan dari langit untuk mereka. 

Nabi Isa lalu berdoa dengan satu doa yang telah dirakam di dalam Al-Quran, doa pembuka rezeki. 
(Doa ini telah diberikan kepada Ustaz Halim Nasir tiga beradik oleh guru mereka ketika mereka menuntut ilmu di Mekah)

Isa putera Maryam berdoa, "Ya Tuhan kami, turunkanlah kepada kami hidangan dari langit (yang hari turunnya) akan menjadi hari raya bagi kami, yaitu orang-orang yang sekarang bersama kami mahupun orang yang datang setelah kami (rezki yang berpanjangan), dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau, berikahlah kami rezeki, sesungguhnya Engkaulah sebaikbaik pemberi rezeki.
[Al-Maidah: 114]

Doa ini bukan saja meminta supaya Allah menurunkan rezeki, malah rezeki yang turun itu juga melimpah ruah, sehingga ke generasi-generasi selepasnya. Amalkanlah doa ini terutamanya apabila berada di dalam bulan mulia ini, semoga kita semua dilimpahkan oleh-Nya rezeki yang diberkati.

Kisah hidangan yang turun dari langit bukan sahaja berlaku kepada Nabi Isa. Maryam ibunya turun diberkati dengan perkara yang sama. Pada ketika itu Nabi Isa masih belum lahir. Tercatat dalam Al-Quran kisah Maryam menerima hidangan dari langit.

Maka Dia (Allah) menerimanya dengan penerimaan yang baik, membesarkannya dengan pertumbuhan yang baik, dan penyerahkan pemeliharaannya kepada Zakaria. Setiap kali Zakaria masuk menemuinya di mihrab (tempat khusus untuk beribadah), dia mendapati ada makanan di sisinya (Maryam).
Dia berkata, "Wahai Maryam, dari mana engkau perolehi makanan ini?" 
Kata Maryam, "Itu daripada Allah."
Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa perhitungan.
[Al Imran: 37]

Dalam Surah Al-Maidah turut diceritakan kisah Nabi Musa berhadapan dengan kaum Bani Israel. Bani Israel ini sememangnya terkenal dengan kedegilan mereka. Walaupun berhadapan dengan nabi utusan Allah, namun mereka masih angkuh dengan Allah. 

Buku "69 Jam di Penjara Yahudi" tulisan saudara Nor Azman adalah buku yang dicadangkan oleh Ustaz Halim untuk melihat sendiri bagaimana kejam dan tidak berperikemanusiannya kaum Yahudi ini. Berlatar belakangkan peristiwa hitam Mavi Marmara ketika NGO-NGO di seluruh dunia bergabung menyertai satu misi kemanusiaan Gaza. 

Antara coretan yang paling menyentuh hati adalah ketika mana pegawai-pegawai tentera Yahudi yang naik ke atas kapal itu mendesak dan mendesak, bertubi-tubi bertanyakan mereka soalan yang sama, "Ketika kami di dek yang ke dua (kapal ada lima dek), pegawai dan tentera-tentera kami terkencing di dalam seluar mereka. Siapa enam lelaki berjubah putih yang mereka lihat di atas dek itu?!"

MasyaAllah. Allah menghantar pertolongan kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki. (Cerita lanjut ustaz suruh baca sendiri).

Dalam bulan Ramadhan yang barakah ini, berusahalah mendekatkan diri kepada Allah, dan amalkanlah doa pembuka rezeki, doa Nabi Isa. Semoga setiap perkara yang kita lakukan mendekatkan kita lagi kelada Sang Pencipta. Allahumma Amin.





Sunday 14 July 2013

Tazkirah Ramadhan (Rahmat dan Pengampunan Allah)

Tempat: Masjid Batu
Penyampai: Dr Mujahid Yusuf Rawa

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah telah bersabda: 
Tatkala Allah telah menciptakan semua makhluk, Dia menulis dalam kitab-Nya dan kitab itu terletak di sisinya di atas 'Arsy,
"Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan murka-Ku."
[Hadith Bukhari dan Muslim]

Rahmat Allah merupakan salah satu anugerah Allah yang terbesar kepada ummat manusia. Tanpa rahmat Allah pasti ummat manusia yang banyak dosa dan sering terleka ini akan diazab dengan pedih dek segala dosa yang kita lakukan.

Siapa yang tidak pernah melakukan dosa? 
Semua yang dipanggil manusia, semuanya pernah melakukan dosa kepada Sang Pencipta. Namun Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang lebih-lebih dahulu mengingatkan hamba-Nya bahawa rahmat Allah itu lebih luas lagi berbanding kemurkaan-Nya.


Antara sifat Allah yang mulia adalah sifat Al-Ghaffur, (Maha Pengampun). Walaupun hamba-Nya ini sering kali melupakan sang pencipta, berulang-ulang, namun Allah tetap saja setia dengan pengampunan-Nya yang tiada tara. Dalam satu hadith yang panjang, Rasulullah telah bersabda:

Seseorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya - dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. 
Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya - dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku ini, 
buatlah apa yang engkau mahu, Aku ampunkan engkau.
[Hadith Bkhari dan Muslim]

Betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, walau seberapa banyak kali pun hamba-Nya itu lupa dan leka dengan perintah Allah, namun semua dosa itu Allah ampunkan selagi mana hamba itu sanggup bertaubat kepada Tuhannya.

Bayangkan jika seseorang melakukan kesalahan kepada kita, memaafkannya insyaAllah dalam kapasiti kita. Namun melupakan perbuatan seseorang itu begitu sahaja sangat susah untuk kita lakukan, apatah lagi menyayangi pula orang tersebut. Besarnya kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya, sudahlah pengampunan diberikan, hamba-Nya itu disayangi pula oleh Tuhan-Nya atas usahanya mendekatkan diri dengan si pencipta. MasyaAllah! :')

Dalam hadith yang lain, Allah memberi salah satu jalan keluar daripada dosa iaitulah dengan beristighfar.

Daripada Ibnu Abbas r.a, Rasulullah bersabda: Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesulitan dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya."
[Riwayat Al-Imam Abu Daud]

Walaupun lafaz istighfar itu kelihatan kecil, namun maknanya begitu besar kepada hamba Allah yang sering melakukan dosa ini. 

Di bulan Ramadhan ini, sama-samalah kita berusaha melazimi dan memperbanyakkan istighfar kepada Allah. Semoga kita akan terus berada dalam rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa. 
Allahumma Ameen.

Let them explore.

"Anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya."

Antara perkara yang menangkap perhatian saya ketika di bumi Ireland ialah bagaimana ibu bapa mendidik anak mereka. Kanak-kanak dibiarkan sahaja untuk mencuba perkara baru di bawah pengawasan ibu bapa tanpa ada 'intervention' daripada orang dewasa. Sebagai contoh, di sini, anak-anak mewarna mengikut gaya yang tersendiri. Mereka boleh mewarnakan sayur dengan pelbagai warna. Hijau, merah, ungu atau biru sekali pun. Cara mewarna juga terpulang pada kreativiti masing-masing. Sama ada nak mewarna terkeluar daripada garisannya, atau mewarna dengan gaya bulatan atau dalam straight line sahaja. 

Berbeza dengan apa yang pernah saya perhatikan dalam masyarakat kita (adik saya pernah bekerja di nursery dan mengikut pengalaman sendiri. Perbezaan boleh wujud dalam latar belakang yang berbeza), kalau budak mewarnakan sayur dengan warna selain hijau, ia dianggap tidak betul. Mewarna terkeluar dari garisan juga salah. Cara mewarna juga diperincikan. Tidak boleh macam ni. Perlu begitu dan begini. Nanti tak cantik. Walaupun lukisan yang terhasil lebih cantik dan 'realistik', namun kita sebenarnya telah menutup ruang untuk mereka belajar melakukan sesuatu di luar lingkup norma, belajar melakukan melakukan kesalahan dan belajar daripada pengalaman dan pemerhatian sendiri.

Pada minggu pertama di Ireland, satu majlis khas diadakan bagi memperkenalkan Ohana (rebranding usrah) kepada freshers. Sebelum majlis bermula, sekumpulan kanak-kanak yang ibu bapa mereka turut dijemput sibuk bermain-main di atas pentas, sambil berlakon menjadi pengacara, berucap menggunakan mikrofon. Bising memang bising, tetapi suasana itu diraikan oleh semua yang hadir. Apabila majlis hendak bermula barulah si anak dipanggil oleh ibu untuk dudk di tempat mereka.

"Ibu bapa dia tak marah ke main-main mikrofon tu?"
"Oh, orang sini memang tak kesah. Bagi diorang itu another way the children learn bout their surrounding."
"Kalau kat Malaysia confirm dah kene cubit-cubit dah."

Memberi ruang kepada kanak-kanak untuk explore persekitaran mereka adalah perkara yang sangat penting untuk tumbesaran fikiran yang kritikal dan suka mencuba. Terlalu menutup ruang untuk mereka mencuba bukan sahaja akan mematikan semangat ingin tahu dan ingin cuba mereka, malah fikiran mereka juga akan lebih tertutup dan sukar menerima sesuatu perubahan.

"Kakak, kaler merah campur kaler kuning jadi kaler oren kan? Kalau biru campur merah jadi kaler apa?"
"Tak tau. Pipi rasa kaler apa?"
"Sat nak kaler. Haa, kaler purple!" kata Afifi girang.
"Pandainyaa!" 

ps: Sambil cuba berlagak cool melihat highlighter yang baru dibeli dibuat macam kaler pensel. 
LET HIM EXPLORE. :)

Afifi dengan experiment mencampur-campur warna. Muka belakang dah penuh dengan macam-macam lukisan dan warna.



Relief Mission Pulau Perhentian [3/3]

Ukhuwah terbina lalu kenangan pun tercipta.

Lebih kurang jam 6 petang, kami sampai di jeti Pulau Perhentian Kecil. Puas sungguh rasanya dapat menikmati ciptaan Allah yang Maha Cantik. Alhamdulillah, dapat juga aku melepaskan gian berenang-renang dalam air. Kemudian ustaz mengajak kami menghilangkan dahaga dulu di salah sebuah gerai di situ. Sambil mendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus, kami berbual-bual, sama-sama berkongsi pengalaman dan cerita. Seronok boleh duduk dengan mereka yang banyak ilmu. Banyak nasihat dan kata-kata mutiara yang dapat dijadikan pedoman.


Aku tersenyum sendiri. Antara sayu dan gembira. Terkenang tanah Gaza, pertemuan pertama dengan mereka. Ustaz Riduan, Ustaz Dusuki, Encik Halim, Haji Zakaria, dan beberapa nama yang lain. Nama-nama yang banyak mengajarku erti hidup, erti perjuangan walaupun kembara kami kembara yang singkat. Enas, Muhammad, Kareem, sahabat rapat di sana. Apa khabar kalian? Terbayang mutiara jernih yang mengalir laju di pipi Kareem, dek kerana hatinya yang meronta-ronta menanti syahid di medan mempertahankan Islam. MasyaAllah, semangat pemuda yang cintanya hanya kepada Allah dan Rasul. Aku? Masih jauh di belakang. Lamunanku terhenti apabila sahabat-sahabat mengajakku pulang dahulu, ingin bersiap untuk maghrib yang bakal masuk tidak lama lagi.

Ceramah motivasi oleh Ustaz Rashdan, pelajar Jordan.

Selepas bersiap, kami berjalan menuju ke masjid yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan kami. Jelas kedengaran azan berkumandang. Indah perasaan itu, dapat mendengar suara muazzin melaungkan seruan menuju kejayaan, satu seruan yang jarang-jarang sekali dapat kudengari di bumi Shamrock. Alhamdulillah, satu nikmat yang terasa benar lazatnya setelah melangkah ke bumi asing itu. Dalam perjalanan, kami melewati beberapa buah gerai. Azan sedang berkumandang, sedang televisyen terpasang kuat. Para pelanggan pula galak dengan rokok di tangan, berbual-bual dan bergelak tawa bagai tidak lut dengan seruan itu. Bukan seorang dua, tetapi lebih daripada sepuluh, malah, lebih ramai yang berkunjung ke gerai itu, mengintai-ngintai andai ada kerusi kosong untuk diduduki. Aku kehairanan. Sangkaku, pasti ramai yang datang mengimarahkan masjid kerana jarak masjid dan rumah mereka hanyalah sepelaung. Kami  menggeleng-geleng.

"Itu sebab ustaz memang fokus kat Pualu Perhentian ni. Nak kena buat banyak lagi ceramah agama untuk educate penduduk. Tolong sikit-sikit dengan bagi bahan asas pada penduduk susah. Kita jangan prihatin dengan kesusahan fizikal mereka ja. Rohani mereka pun perlu dijaga."

Bersiap sedia untuk sesi LDK

Sesi LDK bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian

Alhamdulillah, Ustaz Riduan memang selalu berkunjung ke Pulau Perhentian untuk memberi ceramah dan beramah mesra dengan penduduk di sana. Walaupun tidak begitu mendapat sambutan penduduk, namun usaha tetap diteruskan. Semoga usaha beliau mendapat ganjaran terbaik di akhirat sana. Amin. Walaupun kehadiran kami hanya sebentar cuma, tetapi banyak yang aku pelajari di sini. Banyak lagi yang perlu kami lakukan. Tidak cukup hanya sekadar memberi ceramah di masjid negeri dan sebagainya. Kena turun di lapangan, bertemu sendiri dengan penduduk dan selami kehidupan mereka. 

Bukan mudah. Sungguh. Tapi usaha kena ada. Hasilnya serahkan kepada Allah.

"Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (kepada manusia dan janganlah berdukacita kira ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi peringatan. Bukanlah engkau yang berusaha memaksa mereka (menerima apa yang engkau sampaikan itu).
[Al-Ghasyiyah : 21-22]

Aku berazam. Kembara ini tidak akan berhenti di sini. Selagi ada kudrat, selagi itu aku akan berusaha menghayun kaki menyusuri jalan ini. Ya Allah, mudahkanlah urusan kami dan teguhkanlah hati-hati ini dalam usaha memperjuangkan agama Mu Ya Allah. Amin.

Friday 12 July 2013

Tazkirah Ramadhan (Bangun Malam)

Tempat: Masjid Batu
Penyampai: Ustaz Khairul Zakir


Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda: "Apabila seseorang itu sedang tidur, syaitan membuat tiga simpulan di kepalanya. Untuk setiap simpul, ia (syaitan) mengatakan "Tidurlah engkau sepanjang malam."
Ketika terbangun, lalu dia menyebut nama Allah, maka terlerailah satu simpulan. Jika dia berwudhuk, maka terlerailah pula satu simpulan. Dan jika dia solat, terbukalah seluruh simpulan. 
Maka pada waktu pagi dia akan berasa penuh semangat dan badan segar bugar. Jika tidak, dia akan bangun pagi dalam keadaan serba tak enak dan malas."
[0599: Sahih Bukhari]

Bersempena dengan Ramadhan ini, kita digalakkan menghayati hadith ini dan bangun malam untuk beribadat kepada Allah. Bukan sahaja kita akan memperoleh pahala yang berganda, malah kita juga akan merasa cergas dan bertenaga untuk memulakan hari esok walaupun kita berpuasa. Bersahur bukan sahaja memudahkan kita untuk melakukan amalan yang satu ini, malah kita juga akan mendapat keberkatan daripada sahur itu tadi.


"Rab kita tabaraka wa taala turun ke langit dunia setiap sepertiga malam akhir. Ia lalu berkata,
Barang siapa yang berdoa, akan aku kabulkan.
Siapa yang meminta kepada-Ku akan aku berikan.
Siapa yang meminta ampun kepada-Ku, akan aku ampunkan.
Sehingga terbit fajar."
[Hadith riwayat Bukhari 1145, Muslim 758]

Dalam hadith di atas dinyatakan bahawa Allah akan turun ke langit dunia untuk mendengar permintaan dan rintihan hamba-hamba Nya. Rugilah kita andainya tidak meluangkan barang sedikit masa untuk bertemu mengadap Allah dahulu terutamanya di bulan mulia ini.

"Ingatlah kepada Tuhanmu, nescaya Tuhanmu juga akan mengingatimu."

Ya Allah, berikanlah kami kesenangan (daripada urusan kami di dunia dan di akhirat, dan mudahkanlah kami untuk beribadah kepada-Mu Ya Allah),
Berikanlah kami keselamatan,
Berikanlah kami kesejahteraan.
(Antara doa yang sering Rasulullah baca terutamanya di bulan Ramadhan)

Relief Mission Pulau Perhentian [2/3]

Tiba-tiba telefonku berdering.

"Kina kat mana? Kami tak cukup glucostrip." Kedengaran suara Zayana, sahabat seperjuangan di hujung talian. Nampaknya kumpulan lagi satu yang telah membuat base untuk check up berdekatan dengan tempat penginapan kami menghadapi sedikit kesulitan.

Allah, nak bagitahu macam mana. Aku sendiri tidak pasti di mana kedudukan kami memandangkan kedudukan rumah yang tidak tersusun, memang menyukarkanku untuk memberi direction secara tepat. Tambahan pula aku memang susah nak ingat jalan.

"Err, alamak Zay. Tak sure la kat mana. Kitorang dah nak habis dah ni. Sat lagi kina datang hantarkan." Aku menjawab sebelum mematikan talian. Selepas melawat pesakit terakhir di rumahnya, aku dan beberapa sukarelawan yang lain bergegas ke base untuk membantu.

Ustaz Riduan diperiksa oleh Dr Faizah. Pejuang juga kena sihat tubuh badan! 

Ketika kami sampai di base, beberapa orang penduduk singgah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Aku terus mengambil posisi untuk membuat pemeriksaan gula dalam darah.

"Jaga-jaga. Make sure pakai glove. Kat sini HIV tinggi." Ustaz Riduan separa berbisik.
"Tinggi macam mana tu ustaz?"
"Kalau ikut rekod kesihatan hospital, dalam 60 kes setiap minggu."

60 per week?!
Terbeliak mata! O.O
Kata ustaz, perkara ini bukanlah suatu kehairanan memandangkan ramai antara penduduk bekerja dalam sektor pelancongan di Pulau Besar yang mana arak memang senang didapati, ditambah pula pelancong-pelancong yang datang memang ramai yang tidak 'cukup kainnya'. Memang sentiasa terdedah dengan fitnah dunia. Ditambah pula kebanyakan penduduk pulau agak kurang penghayatan agamanya. Aku hanya mengangguk. Terkejut dengan berita yang baru dikhabarkan.



Pada sebelah petangnya, Ustaz Riduan membawa kami pusing-pusing pulau dan snorkeling. Pulau Perhentian memang terkenal dengan perairannya yang bersih lagi cantik. Subhanallah, hatiku tidak putus-putus memuji kebesaran Ilahi. Jika begini indahnya ciptaan-Nya, pasti Penciptanya lebih-lebih lagi. Allahu Allah. Moga dapat bertemu wajah dengan Sang Pencipta di akhirat sana, amin.


"Kesian budak-budak tahfiz ni. Asyik tak senang duduk ja." Kata salah seorang rakan sewaktu kami berhenti ke check point terakhir untuk snorkeling. Di check point terakhir ini terdapat air mata air yang segar dan kebanyakan pelancong datang untuk mandi selepas penat menjelajah dunia laut di enam check point lain. Kalau kami yang wanita ni pun tak senang duduk, apatah lagi yang lelaki.

Bersambung...

Relief Mission Pulau Perhentian [1/3]

Pulau Perhentian Besar

Pulau Perhentian.
Satu pulau yang cukup indah, masih terpelihara kecantikannya. Selepas berbincang dengan team Muslim Care, kami bersepakat untuk memilih Pulau Perhentian sebagai destinasi untuk Relif Mission kali ini. Pada mulanya aku tertanya-tanya juga. Miskinkah penduduk di sana? Bukankah Pulau Perhentian antara tempat perlancongan yang terkenal?

Takjub dengan kejernihan air yang menembusi ke dasar lautan

Bila ke sana barulah tahu keadaan sebenar. Allah, walaupun Pulau Besar dan Pulau Kecil hanya berhadapan sahaja, namun pembangunannya jauh berbeza. Di Pulau Besar, segala pembangunan untuk pelancongan dibuat. Malamnya hidup, hotelnya cantik dan segalanya nampak indah. Di Pulau Kecil, sesuatu yang sangat berbeza. Hotelnya kayu, nak guna air pun kena bergilir. Kalau semua bilik menggunakan air sekaligus, alamatnya tidak ada airlah kami semua. Paling menyeksakan adalah waktu 'peak hour'. Aku hairan. Bagaimana boleh wujud satu pembangunan yang begitu tidak seimbang walaupun kedua-dua pulau itu jaraknya hanya sekangkang kera. Persoalanku terus hanyut dalam arus fikiran tanpa jawapan.

Bahan asas untuk diagihkan kepada penduduk miskin.

Keadaan rumah penduduk di sana

Keesokan harinya, dipandu oleh salah seorang orang pulau, kami bergerak dari satu rumah ke satu rumah, mengagihkan bahan asas kepada penduduk seperti beras, tepung, gula, dan minyak. Berdasarkan pemerhatianku, kehidupan mereka susah, hanya bergantung kepada pendapatan sebagai nelayan dan juga pekerjaan lain dalam bidang pelancongan. Mereka nyata gembira dengan bantuan yang diberi.


"Terima kasihlah ya. Alhamdulillah, dah tak payah beli beras bulan ni." Kata seorang bapa yang menerima bantuan kami. Kegembiraannya jelas terpancar di wajah. Aku tersenyum, bahagia dapat menbahagiakan orang lain.

Kami berkunjung ke sebuah rumah yang didiami oleh seorang nenek tua bersama anak perempuan dan menantunya, memberi bantuan bahan keperluan asas, juga bantuan kesihatan. Disebabkan Dr. Tajuddin sibuk di rumah pesakit lain, maka kamilah pelajar perubatan yang mengambil alih tugasnya, membantu sekadar mampu, berdasarkan pengetahuan yang masih cetek dahagakan ilmu.


Mujurlah ada Kak Farah bersama, pelajar tahun akhir perubatan. Si nenek menghidap osteoporosis, satu keadaan yang mana ketumpatan tulang semakin rendah disebabkan kurangnya penyerapan mineral ke dalam tulang, selari dengan peningkatan usia dan menopause (putus haid). Sesuatu keadaan yang bukan asing bagi wanita terutamanya mereka yang sudah berusia. Alhamdulillah, sesi konsultasi berjalan dengan lancar.

Bersambung...

Madrasah Ramadhan


Alhamdulillah..

Sekali lagi Allah memberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan Ramadhan, satu bulan yang sangat mulia, bulan ummat Muhammad.


Madrasah Ramadhan.
Bulan mujahadah.
Medidik jiwa, memdidik nafsu.
Bulan memperbaiki diri.

Masa bulan Ramadhan inilah, masa untuk semua ummat Islam berlumba-lumba melakukan kebaikan. Teringat pesan ustazah dulu. Kena set goal betul-betul, apa yang kita nak jadi selepas berakhirnya madrasah Ramadhan.


Macam mana bulan Ramadhan boleh mentarbiyah kita?
Mengikut satu kajian yang dijalankan, habit manusia dapat diubah sekiranya seseorang mengamalkan sesuatu perbuatan secara berterusan selama 21 hari berturut-turut. Bukan sahaja habit, malah cara berfikir dan memandang sesuatu perkara juga akan turut berubah dalam tempoh tersebut. MasyaAllah, 30 hari Ramadhan, bukankah itu satu tempoh yang cukup untuk kita mentarbiyah diri?


Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya. 
Jom kita pulun! ^^

Saturday 6 July 2013

I am a hydrophilic person. Yes. I am!

Alhamdulillah, keberadaan di Pulau Perhentian membuka ruang untuk ku meneroka betapa indahnya ciptaan Allah. Airnya yang jernih menembus ke dasar tidak pernah menjemukan. Menjadi satu keajaiban melibat bayang-bayang sampan di dasar lautan. Subhanallah, betapa agungnya kuasa Allah!


Memang sudah menjadi pantang larang dalam keluarga, tempat yang dikelilingi air adalah tempat yang dilarang. Kalau nak pergi pun kena ada ayah dan ummi. Pernah masa Darjah 5, aku tidak dibenarkan mengikuti camping sekolah kerana diadakan di empangan lama yang dijadikan tempat rekreasi.

Tapi bila dah besar ni, peraturan itu makin longgar, selagi mana segala faktor keselamatan telah dititikberatkan.



"Kakak, macam mana pulau?"
"Best! Best! Kita kena mai sini satu hari nanti ayah. Serius cantik!"
"Hmm.. Tengok la dulu. Banyak lagi tempat cantik atas darat."

T_T

Antara aktiviti yang telah diaturkan oleh Ustaz Riduan adalah snorkeling dan pusing-pusing pulau, Pada mulanya aku dilema juga. Maklumlah, terikat dengan peraturan ayah (jangan main air) dan kemahuan yang membuak untuk meneroka dunia baru.

Bersama pelajar tahfiz An-Nur jagaan Ustaz Riduan. MaysaAllah, pemuda-pemuda hebat.

Team Muslim Care

"Rugi Sakinah kalau tak terjun. Macam pergi Mekah tapi tak jenguk Kaabah." kata Ustaz Riduan.
Over beno perbandingannya. :p
Lepas dipujuk dan dipujuk, alhamdulillah ayah benarkan! (hoorayy!)

Ustaz Riduan, penjaga kami. :)

Selepas menjalani sesi latihan, barulah kami dilepaskan ke lautan luas. Kami turun di kesemua tujuh check point snorkeling. Antaranya termasuklah kawasan batu karang, kawasan penyu dan baby shark point.

"Ustaz, baby shark tu tak makan orang ke??"
"Tak, die makan nestum je. Name pun baby."

-_- (boleh pulak shark makan nestum)

Subhanallah, serius takjub dengan ciptaan Allah di dunia yang lagi satu ini.
Dengan swimming skills yang sangatlah basic, aku berenang dan berenang (pakai life jacket of course), menghayati keindahan ciptaan Allah di dasar lautan.
Yang boleh berenang sikit-sikit ni, kami dibawa berenang oleh si pakcik pulau ke tempat-tempat strategik di setiap check point.
Subhanallah, macam-macam kami jumpa. Semuanya menakjubkan mata yang baru pertama kali melihat ini.
Landak laut
Batu karang yang super besar
Timun laut
Tiram

Tapi sayang tak ada kamera yang boleh tangkap dalam air. Hanya mampu capture the scenery in mind. Huhu..

Air jernih macam dalam akuarium (yang bersih)



Subhanallah!
Subhanallah!
Subhanallah!
(I believe pictures speak a thousand words. No word can describe how beautiful is His creations.)


Hampir 4 jam kami berenang.
Esok harinya dah tak larat nak bangun. Hehe.. Apa pun, indeed, it was amazing!

Alhamdulillah.
Thank you Allah,
Thank you ayah,
for this BEST experience ever! :)

Saya Penderma Organ

Pendermaan Organ.
Bunyi macam menakutkan. 
Terbayang bagaimana organ dalam badan dikeluarkan dengan rakus oleh doktor dan nurse yang berpakaian ala-ala angkasawan untuk mendapatkan organ-organ yang jauh tersorok di dalam badan.

Aku tidak ingat bila kali pertama aku mendengar istilah pendermaan organ ini. Walaupun pernah terlintas di hati untuk menjadi penderma organ, tetapi niat itu cepat sahaja terpadam dengan segala momokan tentang perdermaan organ ini.

Tahun lepas, selepas berkenalan face-to-face dengan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, salah seorang Duta Pendermaan Organ, sebaris dengan Hafiz Hamidun, Adibah Noor, dan beberapa selebriti lain yan turut menjadi duta, barulah aku mengetahui secara detail tentang pendermaan organ ini.


Antara organ yang boleh didermakan.


Melalui penerangan dan pembacaan, barulah aku ketahui bahawa hanya yang mati otak (brain dead) sahaja yang boleh mendermakan organnya. Hal ini adalah kerana organ yang hendak didermakan (jantung, ginjal, baru-baru, dll) hendaklah berfungsi dengan baik dan tidak berpenyakit (hepatitis, HIV, dll) barulah ia boleh didermakan. Untuk memastikan organ itu masih berfungsi, organ mestilah diambil daripada penderma dalam kadar masa tertentu sejurus selepas kematian si penderma. Ini bermakna, jikalau si mati sudah meninggal selama beberapa jam melebihi kadar yang sepatutnya, organ itu sudah tidak boleh digunakan kerana organ itu juga turut rosak disebabkan tiada aliran darah ke organ tersebut.

Ini juga bermakna, walaupun kita mendaftar sebagai penderma, tidak semestinya kita akan mendermakan organ kita akhirnya kerana semuanya bergantung kepada bagaimana cara kita meninggal dunia nanti.

"Ummi, ayah, kakak nak jadi penderma organlah, boleh?"
"Tak boleh. Ayah tau procedure depa nak ambik organ tu macam mana. Ayah dah pernah tengok dah pun. Ayah tak sanggup kakak jadi macam tu jugak."
"Alaa, tapi boleh tolong orang lain yang hidup lagi."
"Tak boleh. Fullstop."

T_T

Hasrat itu masih kukuh tersimpan, jauh di lubuk hati.

Ujian itu satu nikmat.

"Kami tidak membebani satu diri melainkan menurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada satu Kitab yang berbicara dengan benar, dan mereka tidak dianiaya." 
[Al-Mukminun : 62]

Ujian.

Setiap manusia pasti diuji. 
Muda atau tua.
Lelaki atau wanita.
Berat atau ringan.
Susah atau senang.

Ujian itu satu kepastian.

"Apakah kamu mengira kamu akan masuk ke syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar."
[Al-Imran : 142]

Yang membezakan ujian antara manusia adalah mengikut kemampuan mereka. Subhanallah, Maha Suci Allah, yang Maha Adil terhadap hamba-hamba-Nya. Walaupun setiap hamba diuji brbeza-beza namun tiada seorang pun antara kita yang teraniaya.

Ujian.
Satu cara Allah menunjukkan kasih sayang-Nya.
Satu cara Allah menunjukkan kekuasaan-Nya.
Satu cara Allah membawa kita lebih dekat dengan-Nya.

"Ujian ni satu nikmat pada kita. Allah nak panggil kita lagi dekat dengan Dia. Nak suruh kita lagi kuat ingat pada Allah, lagi dekat dengan Allah. Sabar, kunci untuk dapat pahala lebih banyak lagi bila mana kita ditimpa ujian. Allah nak bagi pahala lagi banyak la tu." -Ustaz Dusuki Abd Rani-


Ujian mendekatkan manusia dengan Sang Pencipta. Ingatlah wahai diri, walau sebesar mana ujian yang menimpa, sesuangguhya satu perkara yang pasti, kenikmatan dan ujian itu juga datang dari sumber yang sama, iaitu pemegang takdir, penguasa alam semesta, yang memegang hati setiap manusia, Allah Azza Wajalla.

Jangan kita berputus asa dengan ujian yang menimpa. Jangan pula putus harap dengan rahmat Allah. Sesungguhnya itulah tipu daya syaitan yang menyesatkan.

Hati manusia. 
Lubuk paling dalam, penuh rahsia.
Allahlah yang memegang hati manusia. Dia jugalah yang mengetahui setiap perkara yang terlintas dalam hati kita, hatta sebesar zarah.
Dan ketahuilah, walau apa pun yang dihajati manusia untuk berlaku pada kita, semuanya tidak akan berlaku tanpa izin Allah yang Maha Esa.

Ya Allah, terima kasih atas ujian ini.
Menyedarkan jiwa hamba ini betapa besarnya kekuasaan-Mu.
Betapa agungnya kalam suci Mu.
Betapa indah dan nikmatnya nilai ukhuwah di atas nama-Mu.
Memanggil kami untuk kembali mencari pengharapan dan kembali kepada Mu.
Terimalah solat dan sabar kami, 
Sebagai pemberat timbangan di akhirat nanti.
Amin ya Rabb.


Semoga Allah merahmati insan-insan yang sentiasa membantu dan mendoakan yang lain, insan-insan yang banyak  memberi manfaat kepada makhluk di sekelilingnya. Amin.

"Apabila ujian melanda, 
Ingatlah bahawa itu panggilan Allah,
untuk kita ingat pada-Nya.

Pujuk hati.
Itu adalah kebaikan,
Yang datang dalam bentuk kepahitan.

Ubat mujarab untuk kita,
Yang sering kehilangan rasa kehambaan."

-Ustaz Pahrol Mohamad Juoi-

Cinta Itu Buta..

"Kenapa adik jumpa ustaz?"
"Nak mintak ustaz buat air penawar untuk adik. Dia dah buta dah dengan boyfriend dia. Dah tak ingat dah Tuhan. Serah semua kat budak laki tu. Kami pun tak tau dah nak buat apa."

Dia tunduk. Sayu. Ada kaca di matanya.


Hmm, dahsyat sungguh penangan cinta. Ini bukan kes pertama yang aku pernah dengar. Banyak lagi. Semuanya buta dek cinta.

Ummi selalu pesan, nak pilih suami, pilih yang beriman. 'Buta' lepas kahwin takpa. Jangan sebelum kahwin dah mula macam-macam. Naudzubillah.

Ustaz di KMB pernah cakap.
"Kalau hati kita kosong, sunyi daripada mencintai Allah, kita akan rasa lost. Maka mula mencari cinta selain cinta-Nya untuk mengisi kekosongan kita. Cinta luar tabii tidak mungkin boleh bersama cinta pada Ilahi dalam satu hati. Jika cinta luar tabii yang menguasai hati, maka ia akan mengurangkan cinta yang lainnya - cinta pada ibu bapa, cinta pada Ilahi."

No wonder lah jadi begitu. Penawarnya, kembalilah kepada cinta Ilahi sebelum mula mencari cinta manusiawi. Jika kita benar-benar cintakan Allah dan Rasul-Nya, sudah tentu Allah serahkan hati kita kepada orang yang Dia cintai.

Benar, cinta itu buta. Ia bukan saja membutakan mata, tapi juga mata hati dan jiwa. 
Kejarlah cinta Ilahi. Semoga Dia menganugerahkan cinta suci yang membawa ke syurga hakiki.

"Dua cinta tidak akan berkumpul dalam satu hati.
Hanya satu cinta akan bertakhta dalam satu jiwa.

Apabila cinta Allah terpinggir, 
Maka terpinggir jugalah,
Kegala kebaikan dan kesuciannya.

Maka yang tumbuh selepas itu
Ialah cinta selain Allah
Seiring suburnya segala kejahatan
Dan kekejian."

-Ustaz Pahrol Mohamad Juoi-