Friday, 12 July 2013

Tazkirah Ramadhan (Bangun Malam)

Tempat: Masjid Batu
Penyampai: Ustaz Khairul Zakir


Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda: "Apabila seseorang itu sedang tidur, syaitan membuat tiga simpulan di kepalanya. Untuk setiap simpul, ia (syaitan) mengatakan "Tidurlah engkau sepanjang malam."
Ketika terbangun, lalu dia menyebut nama Allah, maka terlerailah satu simpulan. Jika dia berwudhuk, maka terlerailah pula satu simpulan. Dan jika dia solat, terbukalah seluruh simpulan. 
Maka pada waktu pagi dia akan berasa penuh semangat dan badan segar bugar. Jika tidak, dia akan bangun pagi dalam keadaan serba tak enak dan malas."
[0599: Sahih Bukhari]

Bersempena dengan Ramadhan ini, kita digalakkan menghayati hadith ini dan bangun malam untuk beribadat kepada Allah. Bukan sahaja kita akan memperoleh pahala yang berganda, malah kita juga akan merasa cergas dan bertenaga untuk memulakan hari esok walaupun kita berpuasa. Bersahur bukan sahaja memudahkan kita untuk melakukan amalan yang satu ini, malah kita juga akan mendapat keberkatan daripada sahur itu tadi.


"Rab kita tabaraka wa taala turun ke langit dunia setiap sepertiga malam akhir. Ia lalu berkata,
Barang siapa yang berdoa, akan aku kabulkan.
Siapa yang meminta kepada-Ku akan aku berikan.
Siapa yang meminta ampun kepada-Ku, akan aku ampunkan.
Sehingga terbit fajar."
[Hadith riwayat Bukhari 1145, Muslim 758]

Dalam hadith di atas dinyatakan bahawa Allah akan turun ke langit dunia untuk mendengar permintaan dan rintihan hamba-hamba Nya. Rugilah kita andainya tidak meluangkan barang sedikit masa untuk bertemu mengadap Allah dahulu terutamanya di bulan mulia ini.

"Ingatlah kepada Tuhanmu, nescaya Tuhanmu juga akan mengingatimu."

Ya Allah, berikanlah kami kesenangan (daripada urusan kami di dunia dan di akhirat, dan mudahkanlah kami untuk beribadah kepada-Mu Ya Allah),
Berikanlah kami keselamatan,
Berikanlah kami kesejahteraan.
(Antara doa yang sering Rasulullah baca terutamanya di bulan Ramadhan)

No comments: