Penyampai: Dr Mujahid Yusuf Rawa
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah telah bersabda:
Tatkala Allah telah menciptakan semua makhluk, Dia menulis dalam kitab-Nya dan kitab itu terletak di sisinya di atas 'Arsy,
"Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan murka-Ku."
[Hadith Bukhari dan Muslim]
Rahmat Allah merupakan salah satu anugerah Allah yang terbesar kepada ummat manusia. Tanpa rahmat Allah pasti ummat manusia yang banyak dosa dan sering terleka ini akan diazab dengan pedih dek segala dosa yang kita lakukan.
Siapa yang tidak pernah melakukan dosa?
Semua yang dipanggil manusia, semuanya pernah melakukan dosa kepada Sang Pencipta. Namun Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang lebih-lebih dahulu mengingatkan hamba-Nya bahawa rahmat Allah itu lebih luas lagi berbanding kemurkaan-Nya.
Antara sifat Allah yang mulia adalah sifat Al-Ghaffur, (Maha Pengampun). Walaupun hamba-Nya ini sering kali melupakan sang pencipta, berulang-ulang, namun Allah tetap saja setia dengan pengampunan-Nya yang tiada tara. Dalam satu hadith yang panjang, Rasulullah telah bersabda:
Seseorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya - dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya.
Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya - dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku ini,
buatlah apa yang engkau mahu, Aku ampunkan engkau.
[Hadith Bkhari dan Muslim]
Betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, walau seberapa banyak kali pun hamba-Nya itu lupa dan leka dengan perintah Allah, namun semua dosa itu Allah ampunkan selagi mana hamba itu sanggup bertaubat kepada Tuhannya.
Bayangkan jika seseorang melakukan kesalahan kepada kita, memaafkannya insyaAllah dalam kapasiti kita. Namun melupakan perbuatan seseorang itu begitu sahaja sangat susah untuk kita lakukan, apatah lagi menyayangi pula orang tersebut. Besarnya kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya, sudahlah pengampunan diberikan, hamba-Nya itu disayangi pula oleh Tuhan-Nya atas usahanya mendekatkan diri dengan si pencipta. MasyaAllah! :')
Dalam hadith yang lain, Allah memberi salah satu jalan keluar daripada dosa iaitulah dengan beristighfar.
Daripada Ibnu Abbas r.a, Rasulullah bersabda: Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesulitan dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya."
[Riwayat Al-Imam Abu Daud]
Walaupun lafaz istighfar itu kelihatan kecil, namun maknanya begitu besar kepada hamba Allah yang sering melakukan dosa ini.
Di bulan Ramadhan ini, sama-samalah kita berusaha melazimi dan memperbanyakkan istighfar kepada Allah. Semoga kita akan terus berada dalam rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa.
Allahumma Ameen.
No comments:
Post a Comment