Sunday 28 April 2013

Kenapa kita berbeza??

Bismillahirrahmanirrahim..
Semoga setiap hari yang mendatang lebih baik dari semalam.

Lagi 7 hari sebelum hari yang ditunggu-tunggu tiba.
5 Mei 2013, satu hari yang bakal mengukir sejarah.
PRU paling mendebarkan dalam sejarah Malaysia, negara tercinta.

Ramai antara kita yang sudah menampakkan 'warna'nya.
Ada hijau, biru tua, biru muda, merah dan sebagainya.
Kadang-kadang aku tertanya-tanya, kenapa kita berbeza?

Teringat ceramah Ustaz Hasrizal sewaktu PUISI 2012. 
Semua perkara yang manusia lakukan, berpaksikan kepada neraca fikirannya.
Contohnya dua lelaki yang menangis. Lelaki A menangisi pemergian Syeikh Ahmad Yassin, manakala lelaki B pula menangisi kekalahan Felix kepada Mawi.
Kedua-duanya menangis tetapi atas sebab yang berbeza.

B sangat mengagumi kelunakan suara Felix. Kekalahan beliau mungkin menyebabkan suara lunak itu tidak lagi berkumandang di corong-corong radio. Bukan itu sahaja, segala duit yang telah dilaburkan untuk mengundi Felix dan membeli tiket ke Akademi Fantasia dirasakan sia-sia. Jadi B menangisi kekalahan itu yang dirasakannya kerugian yang amat besar.

Sementara itu A pula seorang yang amat mengagumi Syeikh Ahmad Yassin. Pejuang hebat itu bukan sahaja kaya dengan ilmu agama, malah kata-katanya mampu membakar semangat juang sesiapa sahaja yang mendengarnya. Pemergiannya itu bukan sahaja bermakna hilangnya satu gedung ilmu yang amat berharga, tetapi juga bermakna hilanglah dunia akan seorang ulama' besar yang sangat dikasihi. Jadi A menangisi pemergian Syeikh Ahmad Yassin.

Nampak perbezaannya?
Kedua-duanya menangis, tetapi atas asbab yang berbeza, mengikut apa yang penting, atau prioriti buat mereka. 

Begitu juga dengan kita. Segala tindak tanduk dan pilihan kita menjurus kepada neraca pemikiran dan pandangan kita.
Jika neraca pemikiran kita adalah keberkatan dan keredhaan Allah, begitulah juga tindak tanduk kita, akan menjurus kepada matlamat yang sama dan begitulah sebaliknya.
Tindak tanduk kita mencerminkan pemikiran kita, dan software yang ada dalam diri kita, yang memandu kita dalam membuat sebarang keputusan.

Berbalik pula kepada isu yang sedang panas sekarang. Walau apa pun 'warna' kita, pastikan kita mempunyai perisian (software) yang betul. Biarlah perisian itu perisian yang bermatlamatkan Allah dan Rasul-Nya supaya setiap keputusan dan tindakan kita tidak sia-sia.

Wallahu a'lam.

ps : Another escapism from medical world. ^^ Selamat menghadapi peperiksaan semua. Semoga Allah memberkati masa kita. Amin ya rabb.

Friday 26 April 2013

Ujian dalam ujian..

Alhamdulillah, selesai sudah majlis bacaan Yaasin dan solat hajat anjuran PPMC sebentar tadi. 
Sudah menjadi norma di sini, apabila musim peperiksaan tiba, pelajar-pelajar di Cork akan solat hajat beramai-ramai.
Suka dengan peringatan yang diberikan penceramah tadi, supaya setiap yang hadir  mengikhlaskan niat lillahi taala. 
Supaya sama-sama dapat merasai dan menjiwai makna Allah sebagai satu-satunya tempat bergantung dan berharap.

Tazkirah usai solat Maghrib tadi.

Musim peperiksaan semakin hampir. Salah satu ujian di dunia.
Di kala semua sedang fokus untuk peperiksaan yang semakin hampir, ada dalam kalangan kita yang diuji Allah dengan ujian yang lain.
Ada yang diuji dengan ujian sakit. Tidak mampu untuk belajar dan hilang konsentrasi.
Ada pula diuji dengan ujian tanggungjawab. Punya tanggungjawab lain yang kadang pelajaran terpaksa di'anaktiri'kan.
Ada pula yang dijangkiti "exam syndrome". Homesick sampai tak boleh nak belajar.
Macam-macam.

Apa pun ujian yang dihadapi, mohonlah pertolongan daripada Allah.
Mohonlah keberkatan ilmu yang dipelajari, keberkatan masa yang ada, dan dilapangkan dada untuk menuntut ilmu.
Betulkan niat dan bulatkan tekad.
Semoga peperiksaan yang mendatang ini juga menjadi salah satu bentuk ibadah kita kepada Allah.

Selamat menghadapi peperiksaan warga Cork! Doakan kejayaan bersama. :)

ps : Subhanallah, malam ini bulan penuh. Terasa dekat dan sangat terang. Semoga hati-hati kita seterang bulan malam ini, amin. :)
Maaf tak ada gambar. Imej di lensa kamera tidak seindah lensa mata ciptaan Allah. :)

Bila 'mata' itu terbuka..

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah atas nikmat-Nya yang tidak putus-putus atas hamba-Nya yang kerdil ini, walaupun hamba ini sering kali tercicir dalam perjalanan menuju redha-Nya.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami, dan jadikanlah kami hamba-Mu yang bertaqwa, yang dekat dengan-Mu, amin.

Akhir-akhir ini, banyak perkara yang berlaku di sekeliling menyebabkan aku dan rakan-rakan tersedar. 
Tersedar dengan hakikat tanggungjawab yang kini tergalas di bahu.
Dulu, kami selesa dengan keadaan sebelum ini.
Punya senior tempat bercerita, tempat bermanja. Penyelesai masalah.
Dan kami, kekal menjadi 'adik'.

Sehinggalah pada suatu hari..
Kami tidak lagi boleh mengharapkan senior yang atas sebagai penyelesai masalah (dah nak final exam).
Dan kami pula menjadi penggantinya. 

Baru sedar, "Oh, dah besar dah rupanya."
Bila 'mata' itu terbuka, baru ternampak..
Wajah adik-adik tersayang yang perlu dijaga, 
Biah solehah yang perlu dikekalkan dengan dugaan yang lebih mencabar.
Cabaran hari ini tidak sama dengan semalam.
Tapi itulah ujian yang Allah sediakan.

Bismillahirrahmanirrahim...
Ya Allah, sesungguhnya hati-hati ini berkumpul untuk memikul beban dakwah-Mu.
Maka Kau eratkanlah ikatannya. 
Kau eratkanlah ikatannya. 
Kau eratkanlah ikatannya.
Ya Allah, kuatkanlah hati kami dalam menempuh jalan ini.
Amin ya rabb.

"Allah tidak akan membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya.... (ilal akhir ayah)"
(Surah Al-Baqarah : 286)

Thursday 25 April 2013

Kenai ka?

Aku sedang berjalan di pasar malam bersama adikku.
Ku lihat seorang makcik tua sedang memimpin tangan seorang kanak-kanak lelaki yang comel, cucunya barangkali.
Dan mata kami bertembung.
Aku senyum. Reaksi spontan.
Dan alhamdulillah, senyumanku berbalas.
Adikku hanya memerhati.

Selepas melepasi makcik tersebut, tiba-tiba..

"Hang kenai ka makcik tu?" Adikku bersuara.
"Tak. Awat?"
"Abeh tu senyum tadi gaya macam kenai ja."
"Nak kena kenai baru boleh senyum ka??"
"..."

*****

Alhamdulillah, selepas hampir 3 tahun berada di bumi Shamrock ini, aku dapat rasakan sedikit demi sedikit budaya di sini sudah mula sebati dalam diri.

Senyum bila jumpa orang walaupun tak kenal.
Tolong angkat barang berat makcik-makcik tua.
Tolong pegangkan pintu untuk orang di belakang kita (walaupun orang tu jauh lagi dari pintu tu).
Terbuka dengan pandangan dan pendapat orang lain.
Melazimi puji-pujian untuk menaikkan semangat sahabat-sahabat.

Alhamdulillah, benarlah kata orang, mengembara meluaskan minda.
Banyak benda yang dapat dipelajari. Semoga setiap hari-hari yang berlalu sebagai perantau di bumi orang ini akan menjadikan diri lebih berintegriti dan bernilai murni.

Tuesday 23 April 2013

Macam mana nak jaga hati ya??

"Akak, macam mana nak jaga hati ya??"
Dia bertanya. Mata beningnya memandang tepat ke dalam mata ku.
Seolah-olah ada jawapan di situ.

Aku faham maksudnya.
Ini bukan soal menjaga hati secara genaral.
Ia lebih kepada "different gender attraction".


Aku terdiam. Terkebil-kebil.
Cuba mencari sebarang formula di kotak fikiran yang bisa menjawab soalan yang dilontarkan.

Sejak dari Tingkatan Satu lagi, selalu aku dengar perbincangan sebegini. Baik dari ceramah-ceramah, mahupun perbincangan dengan sahabat-sahabat.
Semuanya demi mengelakkan diri dari terjebak dengan cinta luar tabi'i.

"Erm, awk saja yang ada jawapannya." Aku menjawab ringkas.
"Haa?? Saya yang tanya, macam mana pula saya yang ada jawapan?" 
Ada tanda tidak puas hati pada riak mukanya.

"Tak, maksud akak, ikut fatwa hati." Aku menjelaskan. "Awak saja yang tahu perbuatan itu satu kesalahan atau tidak, perkara yang Allah larang atau tidak."

Mungkin jawapan ini tak cukup jelas. Tapi bagiku inilah jawapan terbaik.

Dari An-Nawwas bin Samaan r.a dari Nabi SAW bersabda, maksudnya:
"Kebaikan itu adalah akhlak yang baik sedangkan dosa adalah apa yang terlintas di jiwamu tetapi kamu benci atau takut orang lain mengetahuinya."
(Riwayat Imam Muslim)

Ikutlah fatwa hati.
Jika ada getaran dalam hatimu, dan kamu benci orang lain mengetahuinya, cepat-cepatlah berusaha untuk keluar darinya.
Semoga kita terhindar dari tipu daya syaitan yang sangat halus lagi memperdaya. 

Monday 22 April 2013

Budaya Kita, Budaya Mereka

Hari ini hari pertama dengan medical team yang baru. Selepas mem'bleep' intern yang bertugas, aku menunggu di satu sudut sambil membaca buku. Tiba-tiba...

"Where's the doctor? I want to see the doctor."

Seorang nurse mendekati lelaki tua tersebut.

"What's wrong dear?"
"I want to see the doctor."
"The doctor will see you soon. I have told the other nurse to tell the doctor. Now, why don't you sit there for a while. I don't want you to get tired."

Perlahan-lahan, lelaki tua itu pun duduk di atas kerusi berdekatan. Melihat kepada umurnya, dia mungkin berusia dalam lingkungan 70-an.

"Do you want any coffee while waiting?" Nurse itu bertanya lagi.
"Yes, please"
"Do you take any sugar or milk with it?"
"Both sugar and milk please."


Seketika kemudian..
"There you go."
"Thank you."

Tiba-tiba..

"The coffee is just too hot for me."
"Oh really? Its ok. I'll put some extra milk, is that ok?"

Lelaki itu hanya mengangguk.

Aku memandang wajah nurse tersebut. Tiada langsung riak wajah 'annoyed' dengan kerenah lelaki tua itu.

Senyum sendiri.
Kagum dengan sikap lemah lembut dan penyayang yang ditonjolkan oleh nurse itu.
Begitulah sehari-harian yang ku lihat di sini. Pesakit dilayan dengan sangat baik.

*****

Aku pernah melihat situasi yang sama, tetapi di tempat yang berbeza, di tanah air sendiri.
Pertanyaan pesakit bukan sahaja tidak dilayan, malah terpaksa pula medengar bebelan daripada nurse-nurse yang garang. Jauh sekali ditawarkan secawan kopi.

ps : Semoga nilai-nilai murni yang diperoleh di sini akan terus kekal dalam diri, dan tidak luntur mahupun terhakis dengan budaya kebiasaan di tempat lain. Amin.

Ardhul Kinanah

Lebih kurang jam 12.30 malam, saya sampai di Cairo Airport. Alhamdulillah, rasa sangat teruja nak jumpa sahabat-sahabat yang sudah lama tidak ketemu.
Masuk sahaja ke dalam lapangan terbang, saya dikejutkan dengan suasana yang sangat aneh.

Syarikat agensi menjerit-jerit memanggil nama pelancong yang menggunakan khidmat mereka (selalunya apa yang saya lihat, agen syarikat akan memegang sepanduk logo syarikat. Bukan menjerit-jerit sebegitu.)
Ramai orang merokok dalam airport termasuklah pegawainya sendiri.
Di ruangan pemeriksaan passport, tiada langsung pembahagian untuk Egyptian dan Non-Egyptian, semua main beratur saja.
Kad ketibaan (selalunya perlu diisi sebaik sahaja mendarat, sebelum pemeriksaan passport) bersepah-sepah di lantai.

Saya beristighfar panjang. Terkejut. Pertama kali melihat melihat airport sebegitu.

"No wonder la non-Muslims tak nampak kecantikan Islam. Orang Islam sendiri yang mencacatkan imej Islam."

Saya terdiam. Hanya mengangguk-angguk, mengiyakan sahaja pendapat sahabat saya.

.....

Semasa berborak dengan sahabat-sahabat yang belajar di Mesir...

"Hang patut bersyukur dapat belajar kat Ireland. Kitorang ni dah penat dah belajar kat sini. Sakit mental, sakit emosi."
"Awat?" Saya bertanya. Teruk sangat bunyinya.
"Aku bagi hang satu situasi. Kalau kat sini, ambulans dok bunyi nino nino pun, takkan ada satu kereta pun yang bergerak bagi laluan."
"Serius??"
"Serius. Tau pasaipa?"
Aku menggeleng.
"Sebab orang yang bawa ambulans tu pun, kalau takdak patient pun dia bunyi nino nino, kalau ada patient pun dia bunyi. Orang dah tak percaya dah."
"Laa, kalau betoi ada patient macam mana? Habis la patient tu."
"Haa.. Welcome to Egypt."
"..."


*****

"Orang Mesir ni memang kasar. Ana yang belajar di sini dulu pun, kena jadi kasar jugak untuk survive dengan pak-pak Arab ni."

Ustaz Dusuki memulakan cerita.

"Tapi satu sikap orang Mesir yang susah nak jumpa pada orang lain, dalam keadaan apa sekalipun, sebut ja Rasulullah SAW dan berselawat, dia akn tenang semula. Hatta sedang bergaduh dengan kawan sampai nak bertumbuk pun, kalau kita berselawat ja pada dia, dua orang tu akan berbaik semula, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Itu kehebatan mereka."

Aku mengangguk. Benar. Banyak kelebihan bumi para anbiya' ini.
Uniknya bumi ardhul kinanah, bumi panahan, bumi para nabi.
Inilah bumi Nabi Musa a.s.
Inilah juga bumi Firaun Laknatullah.

Saya termenung.
Berfikir.
Bumi Nabi Musa dan Firaun.
Bumi di mana berlakunya pertembungan antara yang haq dan yang batil.
Pertembungan yang perlu dipilih antara dua.

Dalam diri kita juga ada pertembungan yang sama.
Satu pertembungan yang kitalah yang menjadi kesatrianya.
Antara nafsu dan iman, kita kesatria siapa??







Sunday 21 April 2013

Dilemma PRU13!!!

Peperiksaan akhir hanya tinggal lebih kurang 15 hari sahaja lagi.
Bila sudah dekat nak exam ni, sepatutnya kena lah lebih tekun mengadap buku.
Tapi sebaliknya yang terjadi.
Suasana PRU13 di Malaysia serius lebih menarik untuk ditatap berulang-ulang kali berbanding buku medic yang setebal dua tiga inci.

Demam PRU lah pula~~

Walaupun dah nak dekat exam, rasa macam tak mampu untuk tertinggal kereta api.
Exam pun exam lah.
PRU tetap PRU!

Ini kalilah!

Kekal Kelantan,
Tawan Putrajaya!

Saturday 20 April 2013

Anak-anak pun mengundi. :)

Tadika Ceria Az-Zahrah

Saat pertama kali melihat keletah kanak-kanak di sini, saya terus jatuh hati.
Allah, sejuk hati ibu bapa. :)

Pendidikannya all-rounded (siap selidik lagi background tadika tu. hehe.)
Alhamdulillah, kanak-kanak diberikan pendedahan awl dengan isu semasa, diajar untuk menilai apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka mengikut kaca mata Islam. 
Juga diberi pendedahan awal tentang rukun-rukun haji, nilai ukhuwwah, solat berjemaah dan sebagainya. 
Siap ada Festival Hijab lagi! MasyaAllah!

Jemaah Haji Cilik. :)


[Simulasi PRU] Salah satu usaha guru-guru dalam mendidik anak-anak ini dengan politik. 

Paling tersentuh dengan kata-kata adik Aisyah Tihani, (6 tahun!) masa pujuk kawannya yang kalah,

"Menang kalah adalah ujian dari Allah."

Terbaik la adik-adik! :) Semoga membesar menjadi pemimpin yang akan meninggikan syiar Islam di Malaysia nanti, amin. 

ps : Dah tahu dah nak aim tadika mana nanti. :)


Aku pendosa..

Dia membuka mata.
Ada rasa sebal dan sesal di  hatinya.

"Ah, buat lagi. Kan dah janji nak insaf."

Rasa nak nangis.
Rasa macam diri sangat hina.
Dia dah bertaubat. Dia dah berjanji takkan ulang lagi perbuatan itu.
Tapi...
Semalam dia buat lagi. Sebelum ini pun dia buat juga.


"Sesiapa yang melakukan dosa, maka ketahuilah, tatkala itu imannya sedang rapuh, dan dia kalah dalam ujian itu."

Terngiang-ngiang ceramah ustaznya.
Dia tertunduk.
Rasa sesal semakin tebal, namun jauh di sudut hati dia bersyukur. Alhamdulillah, Allah tak tarik nyawanya saat dia membuat dosa.
Entah kali keberapa dia bertaubat. Dia tidak ingat.
Mengapa dia begitu liat meninggalkan dosa-dosa itu??
Allah terima lagikah taubatnya? Taubat hamba yang seringkali memungkiri janjinya.

*****

Itulah hakikat penciptaan manusia. Diciptakan dengan nafsu, serta iman yang turun naik.
Kadang kesalahan yang jelas dosanya pada kita, tetap dilakukan. Astaghfirullah, kau ampunkanlah dosa-dosa kami Ya Allah.

"Katakanlah wahai Muhammad, "Wahai hamba-hamba Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia jualah yang Maha Pengampun lagi Maha mengasihani."
(Surah Az-Zaumar : 53)

Jangan pernah kita berputus asa dalam usaha untuk berubah ke arah yang lebih baik, kerana sesungguhnya, pintu yang paling luas terbuka dalam kehidupan ini adalah pintu taubat.

Sabda Rasulullah, 
"Kalian adalah makhluk yang berbuat salah. Dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah mereka yang mahu bertaubat."
(Hadith Tarmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan Ad-Darimy)



Pencerahan dari Dr. MAZA :)

Friday 19 April 2013

Bos, jangan tertipu lagi!

Bos-bos sekalian, sila JANGAN tertipu lagi.


Budak kecik pun kena roll call. :)

Eh, budak kecil pun ada roll call?? Ingatkan asrama saja yang ada.
Ya, budak kecil pun ada. :) Salah satu cara dalam mendidik anak-anak di zaman cyber yang serba menggila ini.

Ramai yang kata, kita terlalu muda untuk memikirkan soal anak.
Calon pun belum ada.

Persoalannya, muda lagikah kita?
Jangan begitu kawan. Ibu Imam Ghazali sudah merancang tentang pendidikan anaknya 10 tahun lebih awal sebelum kelahiran Imam Ghazali.
Cabaran yang bukan calang-calang zaman ini memerlukan kita bakal suami/ister dan bakal ibu/bapa (insyaAlah) untuk bersedia lebih awal sebelum masa itu tiba.

Terjumpa satu sharing di fb oleh Saiful Nang.
Sangat menarik!
Perkara yang sama dilakukan oleh ummi ayah dulu sewaktu kami kecil. Malam-malam sambil tunggu ayah, kena hafal sifir. Nanti ayah cek. :)

Rindu zaman tu. ^_^

*copypaste*


ROLL CALL HARIAN ANAK SAYA (Seperti dalam foto yang isteri saya ambil ini)


Zaman nabi dahulu ia dipanggil TAKRIR (ikrar dan azamkan apa nak buat seharian) & TAKLIM (maklum & lapor apa yg telah dibuat) cuma di sini saya gunakan istilah inggeris...ROLL CALL. Orked (4 tahun), Seri (2 tahun) & Lela (9 bulan) bukanlah muda lagi untuk pembelajaran bermula. Pendidikan bermula dari buaian dan bukan tunggu dah darjah 1. Seri dah mula bercerita pada umur antara 1-2 tahun apabila dia diletakkan bersama kakaknya sekali dalam roll-call. Lela masih belum pandai bercakap tetapi diwajibkan hadir roll-call saya. Untuk apa? Method ini yang diamalkan oleh keseluruhan organisasi Rumah Pengasih Warga Prihatin lalu saya lanjutkannya di unit keluarga saya sendiri.

Anak seperti Lela yang belum pandai bercakap sebenarnya sudah lengkap deria input mereka seperti pendengarannya juga penglihatannya. Jangan ingat mereka tidak mampu berkata (output) bermakna mereka tidak mampu menerima input ilmu? Rugi sangat jika anda fikir begitu kerana dari buaian sehingga mereka pandai berbicara itu adalah INPUT SEHALA yang Allah dah jadikan dalam keadaan anak TIDAK BOLEH MENJAWAB.

Ketika itu, anda perlu masukkan tentang MATLAMAT HIDUP yang anda ulang-ulanginya walaupun mereka tidak boleh respon. Tiada ruang menjawab memberi kita RUANG UNTUK BENTUK JIWA & MINDA MEREKA DARI AWAL. Semasa mereka mula pandai berbicara, ketika itu pendirian dan aspirasi kita sudah terlalu kuat dalam hati mereka untuk mereka pertikaikan dengan mulut.

Masa saya terhad dengan keluarga, biasanya roll call berlaku semasa sarapan & makan malam. Kadangkala seperti gambar ini apabila keadaan memerlukan.

Anda pasti terkejut apabila anak anda mula pandai berkata-kata sahaja, mereka dah berbicara dalam bahasa kamu dan cara fikir yang kamu (ibu bapa) mahukan mereka berfikir. Anda pasti terkejut apabila mereka mula membicarakan istilah-istilah tinggi yang anda tidak perasan bila anda ajarkannya tetapi anda gunakannya dalam perbualan bersama isteri dan didengari oleh mereka


KANDUNGAN ROLL CALL

- Laporan harian Aktiviti anak
- Laporan harian salahbuat anak (sendiri mengaku)
- Pesanan & aspirasi Ayah
- Pesanan hormati ibu (ulang-ulang)
- Pesanan taati bapa, Rasul & Allah.

Itu sahaja, biasanya row call ini saya jalankan secara santai dan anak akan bercerita. Biasanya ia berlangsung dalam 5 minit. Saya hanya bertanyakan dalam row call kepada Orked tetapi kemudiannya itu menyebabkan Seri yang berumur 2 tahun juga mampu meniru dengan cepat sekali. Sekarang Lela yang masih 9 bulan dan belum pandai bercakap juga sudah mula mumbling bila kakak-kakaknya membuat laporan. InsyaAllah very soon, Lela mampu berkata-kata dan berpendirian seperti mana saya ulang-ulangi kepada kakak-kakak mereka.


WAKTU PENTING PENDIDIKAN ANAK ADALAH DARI BUAIAN

Post ini saya kongsikan kerana banyak pertanyaan common yang orang bertanyakan kepada saya tentang kaedah pendidikan anak-anak saya khususnya dan Rumah Prihatin umumnya (yang masih kecil lagi). Memang lah, masa kecil bolehlah nak jaga begitu, nanti bila besar tak tentu lagi. Pada saya pula, jika tidak dimula dari sekarang nanti besar dah jadi liat dan bila dah jadi rebung pasti susah nak dilentur dan bentuk. Jika boleh pun dengan API & PAKSAAN (tapi siksalah).

Mengapa mereka bertanya begitu? Pasti bagi mereka yang pernah jumpa Orked, Seri dan anak-anak Rumah Pengasih Warga Prihatin akan bertanya soalan yang sama kerana bual bicara mereka tak sama dengan kanak-kanak lain (Yang ragu dan sangsi boleh datang melawat Rumah ini). Perbualan mereka lebih kepada perkara yang sudah diterapkan dalam row-call itu. Maka setiap hari ada pendirian-pendirian yang ditanam dan diulangi. Isteri saya pula merapikan dan melaksanakan pendidikan secara akademik kepada anak-anak itu untuk mengejar visi yang saya (bapa) tanamkan.

Mungkin ada yang pelik bila kanak-kanak ini bertanya kepada kakak-kakak sukarelawan dari universiti tempatan yang membuat program menceriakan anak-anak Warga Prihatin ini mendengar soalan dari anak sebesar Orked (4 tahun) yang berbunyi lebih kurang sebegini ;

Orked : Kak, apa RASIONAL gerakan ini? (bila disuruh menari)
Siswi : (Terkejut) Ohh..ini untuk kita suka-suka main bersama.
Orked : Ayah saya pesan, semua perbuatan dan permainan perlu ada FUNDAMENTAL yang kuat supaya mampu memberi PELAJARAN kepada anak-anak kecil seperti kami. Jika kurang kebaikannya, saya minta izin untuk tidak ikut aktiviti ini boleh tak kak?
Siswi : (Menoleh ke arah saya dengan senyum) Bijaknya budak ni.

(Kemudian baru siswa siswi itu mula menerangkan rasional aktiviti yang mereka mahu lakukan sebagai pelajaran kepada anak-anak kecil itu. Rasional yang melebihi sekadar suka-suka sahaja).


Satu lagi, jika yang sebesar Lela tu perlu juga ke masuk row call ?

jawapan saya, semestinya kerana disiplin row call hanya saya terap pada Orked tetapi Seri tahu dengan CONTOH kakaknya, Lela juga nanti akan dapat melalui contoh kakak-kakaknya. Kerja saya kan jadi mudah?

Selain dari itu, row call membentuk disiplin anak yang DATANG BILA DIPANGGIL. Sedih melihat zaman ini apabila anak dipanggil sampai dikejar dan ditangkap juga masih tak mahu datang. Semasa kecil ok lah, bila dah besar nanti bila dipanggil terus lari rumah pula.

Banyak masalah BESAR anak-anak kita sekarang ini terjadi apabila kita mengabaikan banyak perkara-perkara kecil pada awal pembesaran mereka. Antaranya ialah SILATURRAHIM (yang saya buat dalam bentuk row call dan bukannya PS3, Game console, tablet, smartphone dll). Mendidik anak zaman ini memang mencabar.

Bahasa Lambang Jiwa..


Pada  pendapat saya, penulisan itu merupakan salah satu cara untuk kita mengenali perwatakan seseorang dan corak pemikiran mereka. Gaya penulisan juga memainkan peranan yang penting dalam mendefinisikan siapa kita sebenarnya.

Semasa sedang membaca blog kawan-kawan lama, saya terjumpa salah satu entri yang ditulis sahabat saya. Di akhir entri itu tertulis kata-kata seorang guru kepada naqibnya.

"Gaya bahasa macam gaya bahasa saudara ini tidak digunakan dalam Al-Quran, mahupun dalam sunnah Nabi Muhammad SAW. Semua ejaan dalam Quran adalah ejaan sempurna, dan Nabi Muhammad tidak bercakap menggunakan bahasa macam habasa budak belum matang dan rendah taraf pendidikannya."

Sentap!
Jom kita sama-sama baiki bahasa kita. :)

Suasana tenang di Stephen Park, Dublin.

ps: Bahasa itu indah, janganlah kita rosakkannya. :)

Thursday 18 April 2013

"I got no reason"

Hari ini kami ada tutorial respiratory system. Daripada 12 belas orang, hanya lima orang yang datang. Begitu juga minggu lepas. Dr Nora, consultant yang menguruskan medical students di Mercy Hospital nampak kecewa dengan ketidakhadiran sesetengah daripada kami.

"Who did not attend the tutorial last week?"
 Beberapa sahabat Irish yang lain mengangkat tangan.
"Why didn't you come?" Dr Nora memandang mereka yang mengangkat tangan.

"I had clinic at that time"
"I was in Dublin."
"I got no reason."

Mendengar jawapan yang satu ini, saya terpaku. Jujurnya dia!
Dia jujur mengaku dia tidak hadir tanpa alasan.

Salah satu nilai yang sangat saya kagumi dengan sahabat-sahabat Irish di sini.
Always be responsible for your action.
Berbeza dengan pengalaman saya bersekolah dahulu.
Kalau tak ada alasan, then you have to create one, even if that means  you got to lie.

Ya, mereka tidak tahu tentang dosa pahala. 
Mereka tidak tahu tentang keberkatan dengan guru.
Tapi kita yang tahu ini bagaimana sikap kita??

ps : Tahniah pada sahabat-sahabat yang tak pernah ponteng kelas, yang sentiasa jujur dengan guru. Semoga keberkatan sentiasa melimpahi hidup kita, amin. :)






Wednesday 17 April 2013

..Hakikat Kehidupan..

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah yang Maha Cantik perancangannya, susun aturnya dalam mengatur perjalanan hidup kita sejak berada di dalam rahim ibu kita sehinggalah ke saat ini. Alhamdulillah.

Kadang sambil merenung alam ciptaan Allah yang indah di bumi Shamrock ini, saya termenung sendirian, meniti semula lipatan sejarah, bermula sejak mula menjengah ke dunia sehinggalah ke saat ini. MasyaAllah, tidak terkata betapa banyaknya nikmat yang Allah dah berikan. 

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedang kamu tidak tahu."

(Al-Baqarah : 216)

Benarlah Allah lah sebaik-baik perancang dan penyusun atur kehidupan kita. Berapa banyak perkara yang kita rancang tetapi tidak menjadi. Kita hamba yang lagi terbatas pandangannya terhadap masa depan berdukacita atas kehancuran perancangan yang telah sekian lama dibuat. Tetapi dengan penuh kasih sayang dan berhikmah, akhirnya Allah gantikan pula dengan sesuatu yang tidak pernah kita jangka, yang sungguh, itu lebih baik daripada yang sebelumnya. Saat itu barulah tersingkap betapa besarnya hikmah yang Allah berikan di dalam setiap ujian yang Allah berikan. Alhamdulillah, Maha Suci Allah atas segala kekuasaan-Nya yang sangat halus dalam menunjukkan kepada setiap hamba-Nya bahawa Dialah yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Subhanallah.


Every cloud has a silver lining. 
Sungguh, kehidupan itu satu tarbiyah direct daripada Allah.

Tidak perlu kita pergi jauh atau melihat dalam kehidupan orang lain untuk menghayati bukti kekuasaan Allah ini. Luangkanlah sedikit masa untuk membuka kembali lipatan sejarah kita, telitilah dan ambillah ibrah yang telah Allah sediakan sepanjang perjalanan kehidupan kita. Semoga dengan itu, hari ini akan lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini, insyaAllah. 


My best friend

Minggu lepas ialah birthday one of my best friend di Cork. Dia seorang sahabat yang sangat baik, seorang yang sangat caring dan penyayang walaupun luarannya nampak tegas. Comel je orangnye. :) 

To my dearest best friend, 

Thank you so much for always been there for me in both good and bad times. Thank you so much for being such a wonderful friend one can have and at the same time a caring sister (selalu jaga saya.hehe..) I pray to Allah, may He bless and shower you with His undivided love and guidance, and may you have a blessed life in dunya wal akhirah. Uhibbuki fillah abadan abada. <3

Love, 
xoxo :)

ps: Ya Allah, kau peliharalah sahabatku ini. Permudahkanlah urusannya di dunia dan di akhirat. Tsabatkanlah kami dan eratkanlah ikatan hati kami dalam perjuangan ini, dan masukkanlah kami dalam golongan hambamu yang beroleh kemuliaan-Mu di akhirat kelak. 


Alhamdulillah, menjadi pun birthday cake. :) Opera Cake! :)

Tuesday 16 April 2013

Ya Allah, menangkanlah Islam di Malaysia..

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi yang masih menghidupkan kita pada hari ini dengan nikmat iman dan Islam. Alhamdulillah.

Saya masih ingat. Semasa berborak dengan kakak-kakak dan abang-abang yang sudah bekerja di sini, ramai antara mereka yang menyuarakan kebimbangan untuk pulang semula ke tanah air. Kebimbangan yang sama dirasakan olehku. Bimbang bukan kerana cuacanya yang panas (Ireland sejuk macam duduk dalam aircond 24 jam), tetapi bimbang kerana penyakit sosialnya yang semakin parah. Lihat saja statistik terbaru yang dikeluarkan tentang anak luar nikah. Secara purata, setiap 12 minit, seorang anak luar nikah akan dilahirkan. Astaghfirullah, semoga kita terpelihara daripada perbuatan keji itu. Teringat lagi kata-kata Ustaz Hasrizal semasa PUISI 2012, "Tak tahu kenapa, duduk di Ireland ni, walaupun bukan negara Islam, ketenangannya lain. Berbeza dengan di Malaysia, asyik tension saja. Saya rasa la, mungkin Malaysia jauh dari rahmat Allah."

Berbeza dengan suasana di sini, anak-anak dilihat mempunyai pemikiran yang lebih matang. Mereka lebih terbuka untuk menyuarakan pendapat, tidak gentar berhadapan dengan orang ramai (lebih terkehadapan), hatta menegur orang yang lebih tua jikalau perbuatan yang dilihat itu memang satu kesalahan (saya pun pernah kena tegur dengan budak umur empat tahun :) ). Saya tidak nafikan, semuanya bermula daripada pembawakan keluarga dan ibu bapa itu sendiri, tetapi saya juga tidak menolak akan pengaruh faktor persekitaran dalam proses pembesaran dan kematangan anak-anak di sini. Mengikut pendapat para ibu (siap interview lagi), mendidik anak-anak di sini tentang nilai-nilai dan akhlak Islamiyyah lebih mudah jika hendak dibandingkan dengan di Malaysia.

Bagi saya yang insyaAllah akan pulang berkhidmat di tanah air, perkara ini sedikit sebanyak merisaukan saya. Bukan sahaja memikirkan anak-anak yang menjadi amanah dari Allah, tetapi turut bimbang kalau-kalau saya turut larut dalam suasana sosial yang semakin tenat di Malaysia.
Suasana sosial yang sakit: suka marah-marah, asyik tension, kurang kasih sayang antara manusia, budaya rasuah dan menjatuhkan orang lain, hasad dengki, tiada lagi ucapan mesra seperti terima kasih atau semoga Allah berkati, muka masam dan sebagainya.

Bahang pilihanraya yang ke 13 semakin terasa. Di FB, 'perang' politik ketara. Masing-masing berkempen bagi meraih undi dan mempromosikan manifesto yang dibawa. Saya berdoa, sungguh-sungguh berdoa, moga pilihanraya kali ini akan membawa perubahan yang positif kepada tanah air tercinta. Buang politik kotor, buang politik rasuah, buang politik lucah. Semoga Allah memenangkan parti Islam di Malaysia, amin.

 

Kepada kawan-kawan yang mengundi, pilihlah calon yang akan memenangkan Islam. Sesungguhnya setiap undian itu akan ditanya kelak. Semoga kita beroleh saham kebaikan dengan memenangkan Islam di Malaysia.

Monday 15 April 2013

Sibukkah kita?

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, masih lagi diberi nikmat yang melimpah ruah, terutamanya nikmat iman dan Islam, walaupun diri ini acap kali cuai dalam menjalankan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Astaghfirullah, semoga Allah mengampunkan dosa kita dan memasukkan kita dalam golongan yang dimuliakan-Nya. Amma ba'du.

Alhamdulillah, aku sudah separuh jalan dalam bidang perubatan. Sudah hampir pun kepada exam final untuk tahun ketiga perubatan kurang sebulan lagi.

"Blaja medic mesti sibuk kan?"
"Hmm, sibuk la jugak."

Itulah jawapan yang acap kali aku berikan. Tanggungjawab akademik, ditambah dengan beberapa tanggungjawab lain, kadang menyebabkan aku perlu bijak memilih antara keduanya, dan bijak membuat perancangan supaya tiada satu pun antara tanggungjawab itu yg terkorban.

Persoalannya, betul ke sibuk?? Teringat kata-kata Ustaz Anhar dalam ceramahnya tempoh hari.

"Jangan cakap sibuk kalau belum buat semua benda."

Dush! Belum sibuk lagi rupanya aku ni. Time management and self-control is always the key.