Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi yang masih menghidupkan kita pada hari ini dengan nikmat iman dan Islam. Alhamdulillah.
Saya masih ingat. Semasa berborak dengan kakak-kakak dan abang-abang yang sudah bekerja di sini, ramai antara mereka yang menyuarakan kebimbangan untuk pulang semula ke tanah air. Kebimbangan yang sama dirasakan olehku. Bimbang bukan kerana cuacanya yang panas (Ireland sejuk macam duduk dalam aircond 24 jam), tetapi bimbang kerana penyakit sosialnya yang semakin parah. Lihat saja statistik terbaru yang dikeluarkan tentang anak luar nikah. Secara purata, setiap 12 minit, seorang anak luar nikah akan dilahirkan. Astaghfirullah, semoga kita terpelihara daripada perbuatan keji itu. Teringat lagi kata-kata Ustaz Hasrizal semasa PUISI 2012, "Tak tahu kenapa, duduk di Ireland ni, walaupun bukan negara Islam, ketenangannya lain. Berbeza dengan di Malaysia, asyik tension saja. Saya rasa la, mungkin Malaysia jauh dari rahmat Allah."
Berbeza dengan suasana di sini, anak-anak dilihat mempunyai pemikiran yang lebih matang. Mereka lebih terbuka untuk menyuarakan pendapat, tidak gentar berhadapan dengan orang ramai (lebih terkehadapan), hatta menegur orang yang lebih tua jikalau perbuatan yang dilihat itu memang satu kesalahan (saya pun pernah kena tegur dengan budak umur empat tahun :) ). Saya tidak nafikan, semuanya bermula daripada pembawakan keluarga dan ibu bapa itu sendiri, tetapi saya juga tidak menolak akan pengaruh faktor persekitaran dalam proses pembesaran dan kematangan anak-anak di sini. Mengikut pendapat para ibu (siap interview lagi), mendidik anak-anak di sini tentang nilai-nilai dan akhlak Islamiyyah lebih mudah jika hendak dibandingkan dengan di Malaysia.
Bagi saya yang insyaAllah akan pulang berkhidmat di tanah air, perkara ini sedikit sebanyak merisaukan saya. Bukan sahaja memikirkan anak-anak yang menjadi amanah dari Allah, tetapi turut bimbang kalau-kalau saya turut larut dalam suasana sosial yang semakin tenat di Malaysia.
Suasana sosial yang sakit: suka marah-marah, asyik tension, kurang kasih sayang antara manusia, budaya rasuah dan menjatuhkan orang lain, hasad dengki, tiada lagi ucapan mesra seperti terima kasih atau semoga Allah berkati, muka masam dan sebagainya.
Bahang pilihanraya yang ke 13 semakin terasa. Di FB, 'perang' politik ketara. Masing-masing berkempen bagi meraih undi dan mempromosikan manifesto yang dibawa. Saya berdoa, sungguh-sungguh berdoa, moga pilihanraya kali ini akan membawa perubahan yang positif kepada tanah air tercinta. Buang politik kotor, buang politik rasuah, buang politik lucah. Semoga Allah memenangkan parti Islam di Malaysia, amin.
Kepada kawan-kawan yang mengundi, pilihlah calon yang akan memenangkan Islam. Sesungguhnya setiap undian itu akan ditanya kelak. Semoga kita beroleh saham kebaikan dengan memenangkan Islam di Malaysia.
No comments:
Post a Comment