Ukhuwah terbina lalu kenangan pun tercipta.
Aku tersenyum sendiri. Antara sayu dan gembira. Terkenang tanah Gaza, pertemuan pertama dengan mereka. Ustaz Riduan, Ustaz Dusuki, Encik Halim, Haji Zakaria, dan beberapa nama yang lain. Nama-nama yang banyak mengajarku erti hidup, erti perjuangan walaupun kembara kami kembara yang singkat. Enas, Muhammad, Kareem, sahabat rapat di sana. Apa khabar kalian? Terbayang mutiara jernih yang mengalir laju di pipi Kareem, dek kerana hatinya yang meronta-ronta menanti syahid di medan mempertahankan Islam. MasyaAllah, semangat pemuda yang cintanya hanya kepada Allah dan Rasul. Aku? Masih jauh di belakang. Lamunanku terhenti apabila sahabat-sahabat mengajakku pulang dahulu, ingin bersiap untuk maghrib yang bakal masuk tidak lama lagi.
Ceramah motivasi oleh Ustaz Rashdan, pelajar Jordan.
Selepas bersiap, kami berjalan menuju ke masjid yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan kami. Jelas kedengaran azan berkumandang. Indah perasaan itu, dapat mendengar suara muazzin melaungkan seruan menuju kejayaan, satu seruan yang jarang-jarang sekali dapat kudengari di bumi Shamrock. Alhamdulillah, satu nikmat yang terasa benar lazatnya setelah melangkah ke bumi asing itu. Dalam perjalanan, kami melewati beberapa buah gerai. Azan sedang berkumandang, sedang televisyen terpasang kuat. Para pelanggan pula galak dengan rokok di tangan, berbual-bual dan bergelak tawa bagai tidak lut dengan seruan itu. Bukan seorang dua, tetapi lebih daripada sepuluh, malah, lebih ramai yang berkunjung ke gerai itu, mengintai-ngintai andai ada kerusi kosong untuk diduduki. Aku kehairanan. Sangkaku, pasti ramai yang datang mengimarahkan masjid kerana jarak masjid dan rumah mereka hanyalah sepelaung. Kami menggeleng-geleng.
"Itu sebab ustaz memang fokus kat Pualu Perhentian ni. Nak kena buat banyak lagi ceramah agama untuk educate penduduk. Tolong sikit-sikit dengan bagi bahan asas pada penduduk susah. Kita jangan prihatin dengan kesusahan fizikal mereka ja. Rohani mereka pun perlu dijaga."
Alhamdulillah, Ustaz Riduan memang selalu berkunjung ke Pulau Perhentian untuk memberi ceramah dan beramah mesra dengan penduduk di sana. Walaupun tidak begitu mendapat sambutan penduduk, namun usaha tetap diteruskan. Semoga usaha beliau mendapat ganjaran terbaik di akhirat sana. Amin. Walaupun kehadiran kami hanya sebentar cuma, tetapi banyak yang aku pelajari di sini. Banyak lagi yang perlu kami lakukan. Tidak cukup hanya sekadar memberi ceramah di masjid negeri dan sebagainya. Kena turun di lapangan, bertemu sendiri dengan penduduk dan selami kehidupan mereka.
Bukan mudah. Sungguh. Tapi usaha kena ada. Hasilnya serahkan kepada Allah.
"Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (kepada manusia dan janganlah berdukacita kira ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi peringatan. Bukanlah engkau yang berusaha memaksa mereka (menerima apa yang engkau sampaikan itu).
[Al-Ghasyiyah : 21-22]
Aku berazam. Kembara ini tidak akan berhenti di sini. Selagi ada kudrat, selagi itu aku akan berusaha menghayun kaki menyusuri jalan ini. Ya Allah, mudahkanlah urusan kami dan teguhkanlah hati-hati ini dalam usaha memperjuangkan agama Mu Ya Allah. Amin.
"Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (kepada manusia dan janganlah berdukacita kira ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi peringatan. Bukanlah engkau yang berusaha memaksa mereka (menerima apa yang engkau sampaikan itu).
[Al-Ghasyiyah : 21-22]
Aku berazam. Kembara ini tidak akan berhenti di sini. Selagi ada kudrat, selagi itu aku akan berusaha menghayun kaki menyusuri jalan ini. Ya Allah, mudahkanlah urusan kami dan teguhkanlah hati-hati ini dalam usaha memperjuangkan agama Mu Ya Allah. Amin.
No comments:
Post a Comment