Tuesday 15 October 2013

Kuasa Cinta

15.10.2013

Nak pergi ke tak? Nak pergi ke tak? Solat raya jam 8 pagi. Kelas yang bermula awal, dengan jarak kampus yang agak jauh dari rumah membuatkan aku masih berkira-kira, bimbang kelewatan. Tapi kalau tak pergi terasa sangat rugi, memandangkan solat sunat raya hanya setahun sekali. Selepas berfikir-fikir aku tekad. Kena jugak solat raya berjemaah walau apa pun. Walaupun kekalutan di pagi raya, Alhamdulillah rasa sangat bersyukur, dapat solat berjemaah bersama dan mendengar khutbah yang sangat best. :)

Khutbah yang dibaca mengisahkan pengorbanan Ibrahim dan Ismail. Simple. Tapi kupasannya sangat menyentuh hati. Betapa beratnya ujian yang Allah berikan kepada nabi Allah Ibrahim, apabila anak yang selama ini dinanti kelahirannya, yang ditatang dengan penuh kasih sayang, diperintahkan Allah untuk disembelih. Walaupun ujian itu sungguh berat, namun Ibrahim tidak pula meminta untuk dipinda perintah itu ke dalam bentuk yang lain ataupun sekurang-kurangnya diringankan ujian itu, dan Ismail pula 'instead of' merayu supaya dilepaskan, menyuruh pula bapanya Ibrahim melaksanakan perintah Tuhan. Kuasa apa yang memberi mereka kekuatan untuk menghadapi ujian itu?

Itulah kuasa cinta.

Cinta yang mutlak kepada Allah, Sang Pencipta dan bukannya kepada keluarga dan anak pinak. MasyaAllah, terdetik dalam hati, mampukah aku?

Bercakap tentang cinta, mengapa begitu susah untuk benar-benar mencinta-Nya? Lebih susah - sungguh, jauh lebih susah daripada mencintai makhluk bernama manusia. Hingga kadang cinta kepada manusia itu melebihi cinta kepada pencipta manusia itu sendiri. Ramai antara kita yang berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya di dunia, demi menggembirakan hati-hati insan tersayang. Jika begitu bersungguh kita berusaha untuk membahagiakan manusia, apa pula usaha kita untk menggembirakan Sang Pencipta?

Memang, mencintai Allah itu susah lagi payah, kerana cinta itu terlalu mahal, dan memerlukan 'bayaran' yang mahal juga. Itulah cinta yang membuka segala cinta, menuntut seribu satu pengorbanan, demi kebahagiaan yang bukan setakat di dunia, malah insyaAllah membawa ke syurga sana.

Contohilah cinta Ibrahim dan Ismail, cinta kepada Allah, membawa kepada cinta yang lebih kukuh antara mereka. 

Ya Allah kurniakanlah aku cintaMu, 
Kurniakanlah aku cinta orang yang mencintaiMu,
Dan kurniakanlah cinta apa sahaja yang menghadirkan cintaku kepadaMu, 
kerana cintaMu lebih kudambakan daripada seteguk air.

Selamat Hari Raya Aidul Adha dari bumi Shamrock.

Taqabbalallahu minna wa minkum. :)


2 comments:

Mohamad Nazrul Fazli said...

“Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih).

Manifestasi bagi dua orang yang saling bercinta adalah melalui pernikahan.

http://drmaza.com/home/?p=1729

a good read though..:)

Unknown said...

Interesting one.. Good article for teenagers especially.. :)