Friday, 2 August 2013

Atas Nama Cinta

"Awak bila nak cari calonnya?" 
Kak Nani (bukan nama sebenar), seorang kakak yang sangat dia hormati bertanya. Dia isteri kepada duta kerajaan Malaysia di Kota Baghdad. Kak Nani dan suaminya, Abang Roslan memang rapat dengan pelajar, sampai hal-hal peribadi sebegini pun mereka tahu.

"Ntah la kak. Sape la nak kat saya ni." 
Acuh tak acuh saja jawapannya. Bukan tak ada calon. Pelajar perempuan sekuliahnya juga ramai tapi tiada seorang pun yang berkenan di hati. Belajar bidang perubatan di perantauan bukan sesuatu yang mudah. Banyak lagi perkara yang perlu dia fokuskan selain hal yang satu ini. Banyak harapan digalas. Banyak pula tanggungjawab yang dipikul. Terbayang muka Mak dan Ayah di kampung.

"Akak carikkan la."
Lancar saja ucapan itu keluar dari mulutnya. Kak Nani tersenyum.

Beberapa hari kemudian, seperti yang telah dijanjikan, mereka bertemu semula di rumah Kak Nani dan Abang Roslan. Di hadapannya, dibentangkan gambar beberapa orang muslimat, yang semuanya punya potensi yang sama untuk menjadi suri hidupnya. 

Berdebar.
"Ya Allah, permudahkanlah urusan kami." Dia berdoa.

Dengan membaca bismillah, dia mengambil gambar yang pertama. Dan diambil pula gambar seterusnya, dan seterusnya. Sampai giliran gambar yang terakhir, Abang Roslan memberikan sekeping gambar passport, gambar seorang gadis sunti. Sekali tatap sahaja sudah cukup menenangkan hatinya. Selepas mengambil masa sejenak, dia membuat keputusan.

"InsyaAllah bang. Saya nak melamar gadis ini."
"Abang dah agak dah. Mesti kau suka dia punya. Sebab tu abang letak gambar dia last sekali. Ini anak saudara Kak Nani."

Alhamdulillah, tak sangka itu anak saudara Kak Nani. Dia memanjatkan doa, mudah-mudahan lancarlah semuanya.

Masa berlalu. Cuti summer sudah tiba. Alhamdulillah, Ayah dan Mak dah bagi green light padanya untuk melamar si gadis. Kali ini dia tidak akan terus pulang ke Penang. Destinasi pertamanya adalah Kelantan, negeri Cik Siti Wan Kembang, negeri kelahiran gadis itu.

Walaupun hanya bertemankan seorang rakan, dia tekad, hasrat hatinya ini harus diteruskan. Kedatangannya ke rumah si gadis disambut mesra. Alhamdulillah, segala perbincangan dengan pihak wali berjalan lancar. Dia dipertemukan buat kali pertama dengan si gadis. Dengan muka yang penuh dengan tompokan bedak sejuk, si gadis tampil di hadapannya. Dia tahu hati gadis itu belum lagi dimenangi. Dia berlagak tenang sahaja walaupun jiwanya ribut dan taufan sedang menggila.

* * * * * * * * * *

Berita perihal lamaran pemuda itu sampai ke telinganya.
"Mana mungkin aku dapat duduk sebilik dengan lelaki asing yang tidak pernah ku kenali." Hatinya berbisik tidak senang. 

Segala taktiknya untuk melunturkan hasrat lelaki itu tidak berjaya. Nampak gaya Abah dan Ma pun dah suka benar lelaki ini. Dia gelisah.

Malam itu dia bersujud panjang pada Tuhannya, mohon diberikan petunjuk.

"Ya Allah, jika benar lelaki ini lelaki terbaik pilihan-Mu, yang dapat menjagaku dari awal sehingga ke akhirnya, jika lelaki ini lelaki terbaik untuk dunia dan akhiratku, jika lelaki ini lelaki terbaik untuk pemilihan syurga dan neraka, maka kau lembutkanlah hatiku, dan tenangkanlah hatiku dengan pilihan-Mu." 

Hatinya merintih. Entah kenapa hiba sangat rasanya. Malam itu, terasa dekat benar dia dengan Sang Pencipta. Serentak dengan itu, hatinya menjadi tenang dan lembut, bersama gugurnya mutiara-mutiara kaca dari matanya.

* * * * * * * * * *


Alhamdulillah, hatinya gembira bukan kepalang. Pantas, syukur itu ditujukan kepada yang lebih berhak, Allah Azza Wajalla. Si gadis akhirnya bersetuju menerima pinangannya. Beberapa lama kemudian, majlis perkahwinan mereka berlangsung secara sederhana. 

Cuti summer sudah berakhir. Bersama 'teman baru'nya, dia akan kembali ke Baghdad, menghabiskan pengajian yang lagi dua tahun berbaki. Sebelum mereka bertolak, dia menyerahkan sepucuk surat kepada Abah dan Mak, sepucuk surat kepada ibu dan ayah mertuanya, sepucuk surat lagi diserahkan kepada Kak Nani dan Abang Roslan. Hanya surat tulisan tangan itu yang mampu dia serahkan buat menyatakan betapa bersyukur dan berterima kasihnya dia atas restu mereka dengan perkahwinan itu. Dia berazam, gadis itu akan dijaga sebaiknya, kerana dia kini amanah Allah kepadanya.


Alhamdulillah, mereka kini bahagia, dibahagiakan pula dengan kurniaan Allah, 6 orang cahaya mata. Dan cerita cinta mereka diceritakan pula kepada aku dan adik-adik, permata hati mereka.


Ya, kisah Ummi dan Ayah.
Kisah tentang restu ibu bapa,
Kisah tentang kebergantungan kepada Allah,
Kisah mencari cinta syurga dunia, dalam mengejar cinta Allah dan syuga-Nya.

No comments: