Rasulullah teladan kami,
Al-Quran pedoman hidup kami,
Jihad adalah jalan juang kami,
Mati di jalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi."
Bait-bait kata nasyid itu masih terngiang-ngiang di gegendang telingaku.
Syahid? Adakah itu benar-benar cita-cita tertinggiku? Aku menduga diri.
Jika benar, cukupkah persediaannya??
Aku kelu. Minda ligat memutar masa lalu, cuba mencari-cari jawapan bagi persoalan yang ku kira lebih susah daripada menjawab soalan Math HL IB di Banting dulu. Menyelati warna-warna kehidupan.
Hitam, putih, hijau, kelabu, kuning, biru. Sudah bersediakah aku??
Terpilih untuk ke Gaza bersama salah satu NGO yang sangat aktif dalam gerak kerja kemanusiaan dan dakwah membuatku banyak berfikir dan muhasabah. Dalam ramai-ramai yang memohon, aku antara yang paling sedikit probabiliti untuk dipilih. Ayah dan Ummi yang sangat strict terutamanya berkenaan keselamatan anak-anak, memohon pula pada hari terakhir untuk memohon, ditakdirkan pula aku rotation di Kerry (dua jam dari Cork) ketika tarikh misi tersebut. Namun semuanya tidak mampu mencacatkan pengharapanku, apatah lagi membunuhnya.
Alhamdulillah. Allah lah sebaik-baik perancang. Segala-galanya dipermudahkan. Alhamdulillah. Aku yakin, pasti banyak hikmah yang Allah sediakan di hadapan.
"Ya Allah, jika syahid di bumi Gaza adalah yang terbaik untukku, maka syahidkanlah." Aku memasang niat di dalam hati sambil berdoa. Ada getaran terasa. Wajah Ummi, Ayah, adik-adik silih berganti. Persoalan demi persoalan timbul.
Benarkah aku hendak meninggalkan mereka? Sekolahku bagaimana? Kawan-kawan? Saudara-mara? Cita-cita? Harapan? Masa depan?? Persediaanku sudah cukupkah? Solatku bagaimana? Sudah sempurna khusyuknya? Dakwah pula? Itu tak kira lagi dengan dosa-dosa lalu yang banyak tak terkira.
Segala persoalan dan persepsi segera ku tepis ke tepi. Bimbang kalau-kalau makin dilayan, makin menjadi-jadi. Alang-alang berada di bumi Gaza, tetapkanlah skali niat untuk syahid di sana. Kalau syahid alhamdulillah. Kalau tak syahid pun alhamdulillah juga. Dapat pahala atas niatnya. Allah lebih bijak dan lebih arif dengan perancangan-Nya. Segalanya telah ditentukan.
Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas r.a. beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila Engkau meminta, maka pintalah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan sesuatu perkara yang memang Allah telah tetapkan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).
Termenung sejenak.
Allah.
Terpilihkah aku?