Sunday, 28 April 2013

Kenapa kita berbeza??

Bismillahirrahmanirrahim..
Semoga setiap hari yang mendatang lebih baik dari semalam.

Lagi 7 hari sebelum hari yang ditunggu-tunggu tiba.
5 Mei 2013, satu hari yang bakal mengukir sejarah.
PRU paling mendebarkan dalam sejarah Malaysia, negara tercinta.

Ramai antara kita yang sudah menampakkan 'warna'nya.
Ada hijau, biru tua, biru muda, merah dan sebagainya.
Kadang-kadang aku tertanya-tanya, kenapa kita berbeza?

Teringat ceramah Ustaz Hasrizal sewaktu PUISI 2012. 
Semua perkara yang manusia lakukan, berpaksikan kepada neraca fikirannya.
Contohnya dua lelaki yang menangis. Lelaki A menangisi pemergian Syeikh Ahmad Yassin, manakala lelaki B pula menangisi kekalahan Felix kepada Mawi.
Kedua-duanya menangis tetapi atas sebab yang berbeza.

B sangat mengagumi kelunakan suara Felix. Kekalahan beliau mungkin menyebabkan suara lunak itu tidak lagi berkumandang di corong-corong radio. Bukan itu sahaja, segala duit yang telah dilaburkan untuk mengundi Felix dan membeli tiket ke Akademi Fantasia dirasakan sia-sia. Jadi B menangisi kekalahan itu yang dirasakannya kerugian yang amat besar.

Sementara itu A pula seorang yang amat mengagumi Syeikh Ahmad Yassin. Pejuang hebat itu bukan sahaja kaya dengan ilmu agama, malah kata-katanya mampu membakar semangat juang sesiapa sahaja yang mendengarnya. Pemergiannya itu bukan sahaja bermakna hilangnya satu gedung ilmu yang amat berharga, tetapi juga bermakna hilanglah dunia akan seorang ulama' besar yang sangat dikasihi. Jadi A menangisi pemergian Syeikh Ahmad Yassin.

Nampak perbezaannya?
Kedua-duanya menangis, tetapi atas asbab yang berbeza, mengikut apa yang penting, atau prioriti buat mereka. 

Begitu juga dengan kita. Segala tindak tanduk dan pilihan kita menjurus kepada neraca pemikiran dan pandangan kita.
Jika neraca pemikiran kita adalah keberkatan dan keredhaan Allah, begitulah juga tindak tanduk kita, akan menjurus kepada matlamat yang sama dan begitulah sebaliknya.
Tindak tanduk kita mencerminkan pemikiran kita, dan software yang ada dalam diri kita, yang memandu kita dalam membuat sebarang keputusan.

Berbalik pula kepada isu yang sedang panas sekarang. Walau apa pun 'warna' kita, pastikan kita mempunyai perisian (software) yang betul. Biarlah perisian itu perisian yang bermatlamatkan Allah dan Rasul-Nya supaya setiap keputusan dan tindakan kita tidak sia-sia.

Wallahu a'lam.

ps : Another escapism from medical world. ^^ Selamat menghadapi peperiksaan semua. Semoga Allah memberkati masa kita. Amin ya rabb.

Friday, 26 April 2013

Ujian dalam ujian..

Alhamdulillah, selesai sudah majlis bacaan Yaasin dan solat hajat anjuran PPMC sebentar tadi. 
Sudah menjadi norma di sini, apabila musim peperiksaan tiba, pelajar-pelajar di Cork akan solat hajat beramai-ramai.
Suka dengan peringatan yang diberikan penceramah tadi, supaya setiap yang hadir  mengikhlaskan niat lillahi taala. 
Supaya sama-sama dapat merasai dan menjiwai makna Allah sebagai satu-satunya tempat bergantung dan berharap.

Tazkirah usai solat Maghrib tadi.

Musim peperiksaan semakin hampir. Salah satu ujian di dunia.
Di kala semua sedang fokus untuk peperiksaan yang semakin hampir, ada dalam kalangan kita yang diuji Allah dengan ujian yang lain.
Ada yang diuji dengan ujian sakit. Tidak mampu untuk belajar dan hilang konsentrasi.
Ada pula diuji dengan ujian tanggungjawab. Punya tanggungjawab lain yang kadang pelajaran terpaksa di'anaktiri'kan.
Ada pula yang dijangkiti "exam syndrome". Homesick sampai tak boleh nak belajar.
Macam-macam.

Apa pun ujian yang dihadapi, mohonlah pertolongan daripada Allah.
Mohonlah keberkatan ilmu yang dipelajari, keberkatan masa yang ada, dan dilapangkan dada untuk menuntut ilmu.
Betulkan niat dan bulatkan tekad.
Semoga peperiksaan yang mendatang ini juga menjadi salah satu bentuk ibadah kita kepada Allah.

Selamat menghadapi peperiksaan warga Cork! Doakan kejayaan bersama. :)

ps : Subhanallah, malam ini bulan penuh. Terasa dekat dan sangat terang. Semoga hati-hati kita seterang bulan malam ini, amin. :)
Maaf tak ada gambar. Imej di lensa kamera tidak seindah lensa mata ciptaan Allah. :)

Bila 'mata' itu terbuka..

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah atas nikmat-Nya yang tidak putus-putus atas hamba-Nya yang kerdil ini, walaupun hamba ini sering kali tercicir dalam perjalanan menuju redha-Nya.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami, dan jadikanlah kami hamba-Mu yang bertaqwa, yang dekat dengan-Mu, amin.

Akhir-akhir ini, banyak perkara yang berlaku di sekeliling menyebabkan aku dan rakan-rakan tersedar. 
Tersedar dengan hakikat tanggungjawab yang kini tergalas di bahu.
Dulu, kami selesa dengan keadaan sebelum ini.
Punya senior tempat bercerita, tempat bermanja. Penyelesai masalah.
Dan kami, kekal menjadi 'adik'.

Sehinggalah pada suatu hari..
Kami tidak lagi boleh mengharapkan senior yang atas sebagai penyelesai masalah (dah nak final exam).
Dan kami pula menjadi penggantinya. 

Baru sedar, "Oh, dah besar dah rupanya."
Bila 'mata' itu terbuka, baru ternampak..
Wajah adik-adik tersayang yang perlu dijaga, 
Biah solehah yang perlu dikekalkan dengan dugaan yang lebih mencabar.
Cabaran hari ini tidak sama dengan semalam.
Tapi itulah ujian yang Allah sediakan.

Bismillahirrahmanirrahim...
Ya Allah, sesungguhnya hati-hati ini berkumpul untuk memikul beban dakwah-Mu.
Maka Kau eratkanlah ikatannya. 
Kau eratkanlah ikatannya. 
Kau eratkanlah ikatannya.
Ya Allah, kuatkanlah hati kami dalam menempuh jalan ini.
Amin ya rabb.

"Allah tidak akan membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya.... (ilal akhir ayah)"
(Surah Al-Baqarah : 286)

Thursday, 25 April 2013

Kenai ka?

Aku sedang berjalan di pasar malam bersama adikku.
Ku lihat seorang makcik tua sedang memimpin tangan seorang kanak-kanak lelaki yang comel, cucunya barangkali.
Dan mata kami bertembung.
Aku senyum. Reaksi spontan.
Dan alhamdulillah, senyumanku berbalas.
Adikku hanya memerhati.

Selepas melepasi makcik tersebut, tiba-tiba..

"Hang kenai ka makcik tu?" Adikku bersuara.
"Tak. Awat?"
"Abeh tu senyum tadi gaya macam kenai ja."
"Nak kena kenai baru boleh senyum ka??"
"..."

*****

Alhamdulillah, selepas hampir 3 tahun berada di bumi Shamrock ini, aku dapat rasakan sedikit demi sedikit budaya di sini sudah mula sebati dalam diri.

Senyum bila jumpa orang walaupun tak kenal.
Tolong angkat barang berat makcik-makcik tua.
Tolong pegangkan pintu untuk orang di belakang kita (walaupun orang tu jauh lagi dari pintu tu).
Terbuka dengan pandangan dan pendapat orang lain.
Melazimi puji-pujian untuk menaikkan semangat sahabat-sahabat.

Alhamdulillah, benarlah kata orang, mengembara meluaskan minda.
Banyak benda yang dapat dipelajari. Semoga setiap hari-hari yang berlalu sebagai perantau di bumi orang ini akan menjadikan diri lebih berintegriti dan bernilai murni.

Tuesday, 23 April 2013

Macam mana nak jaga hati ya??

"Akak, macam mana nak jaga hati ya??"
Dia bertanya. Mata beningnya memandang tepat ke dalam mata ku.
Seolah-olah ada jawapan di situ.

Aku faham maksudnya.
Ini bukan soal menjaga hati secara genaral.
Ia lebih kepada "different gender attraction".


Aku terdiam. Terkebil-kebil.
Cuba mencari sebarang formula di kotak fikiran yang bisa menjawab soalan yang dilontarkan.

Sejak dari Tingkatan Satu lagi, selalu aku dengar perbincangan sebegini. Baik dari ceramah-ceramah, mahupun perbincangan dengan sahabat-sahabat.
Semuanya demi mengelakkan diri dari terjebak dengan cinta luar tabi'i.

"Erm, awk saja yang ada jawapannya." Aku menjawab ringkas.
"Haa?? Saya yang tanya, macam mana pula saya yang ada jawapan?" 
Ada tanda tidak puas hati pada riak mukanya.

"Tak, maksud akak, ikut fatwa hati." Aku menjelaskan. "Awak saja yang tahu perbuatan itu satu kesalahan atau tidak, perkara yang Allah larang atau tidak."

Mungkin jawapan ini tak cukup jelas. Tapi bagiku inilah jawapan terbaik.

Dari An-Nawwas bin Samaan r.a dari Nabi SAW bersabda, maksudnya:
"Kebaikan itu adalah akhlak yang baik sedangkan dosa adalah apa yang terlintas di jiwamu tetapi kamu benci atau takut orang lain mengetahuinya."
(Riwayat Imam Muslim)

Ikutlah fatwa hati.
Jika ada getaran dalam hatimu, dan kamu benci orang lain mengetahuinya, cepat-cepatlah berusaha untuk keluar darinya.
Semoga kita terhindar dari tipu daya syaitan yang sangat halus lagi memperdaya.